
Risiko global secara keseluruhan yang dikaitkan dengan Omicron dinilai sebagai sangat tinggi
Varian Omicron bagi virus Sars-CoV 2 pada hakikatnya sama teruk dengan varian sebelumnya, menurut versi pracetak kajian paling meluas di Amerika Syarikat (AS), yang menolak andaian varian itu lebih mudah berjangkit tetapi kurang teruk.
Penemuan kajian itu, yang menganggarkan tahap keterukan Omicron selepas mengambil kira keberkesanan vaksin, sepatutnya mengukuhkan lagi kepentingan inokulasi dan suntikan penggalak, kata pakar.
Vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma farmaseutika terkenal dunia membantu mengekalkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian secara relatifnya lebih rendah semasa lonjakan Omicron berbanding dengan varian sebelumnya.
Kajian itu, yang sedang menjalani semakan pihak lain di Nature Portfolio, telah disiarkan di Research Square pada Isnin (2 Mei). Penulis, dari Hospital Besar Massachusetts, Universiti Minerva dan Sekolah Perubatan Harvard, enggan mengulas sehingga semakan selesai.
“Kami mendapati bahawa risiko kemasukan ke hospital dan kematian adalah hampir sama antara era Omicron dan tempoh dalam dua tahun lalu apabila varian berbeza menjadi dominan, kata para penyelidik dalam laporan mereka.
Kajian baharu itu, berdasarkan rekod 130,000 pesakit Covid-19 di Massachusetts, lebih unik dan agak kuat,” kata Dr Arjun Venkatesh dari Sekolah Perubatan dan Pusat Penyelidikan Penilaian Yale, yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu. .
Daripada hanya melihat jumlah kematian dan kemasukan ke hospital, seperti yang dilakukan oleh penyelidikan terdahulu, kajian itu mengambil kira status vaksinasi pesakit dan faktor risiko perubatan dan membandingkan kumpulan individu yang serupa, kata Dr Venkatesh.
Penulis menyebut potensi had dalam laporan mereka hanya melibatkan bilangan pesakit yang divaksin ketika gelombang Covid-19 terbaharu, dan tidak termasuk pesakit yang melakukan ujian pantas di rumah.
Kajian itu tidak mengambil kira rawatan yang mungkin diterima pesakit, seperti antibodi monoklonal atau ubat antivirus yang diketahui mengurangkan kemasukan ke hospital, kata Dr Venkatesh.
“Ada kemungkinan jika kami tidak mempunyai rawatan ini hari ini, Omicron akan menjadi lebih teruk.”
Negara-negara di seluruh dunia telah mendapati bahawa peratusan besar rakyat mereka enggan mendapatkan vaksin Covid-19, walaupun semasa lonjakan varian yang lebih menyebabkan kematian.
Apabila varian Omicron pertama kali dikenal pasti pada lewat 2021, pegawai kesihatan awam berkata ia menyebabkan simptom yang lebih ringan dalam sebahagian besar individu yang dijangkiti.
Keadaan itu mungkin menyebabkan lebih ramai yang teragak-agak untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Tetapi Dr Venkatesh berkata dalam pracetak baharu kajian itu telah memasukkan bukti bahawa vaksin membantu menyelamatkan orang ramai daripada kesan terburuk Omicron.
“Jangan buat kesilapan dengan memikirkan vaksin dan penggalak tidak penting, katanya. – Agensi