Jangkitan Omicron di Australia melonjak, Victoria catat rekod

Jangkitan Covid-19 meningkat di seluruh Australia pada Rabu, susulan penularan pantas varian Omicron, dengan kes baharu di Sydney dan kawasan sekitar New South Wales (NSW) melonjak kepada lebih 11,000 kes, meningkat daripada 6,000 sehari sebelumnya.

Negeri Victoria juga melaporkan rekod baharu 3,700 kes, meningkat lebih 1,000 daripada rekod sebelumnya iaitu pada Selasa.

Lebih tiga perempat daripada rakyat Australia kini telah lengkap divaksinasi, dan sejauh mana varian baharu itu boleh menyebabkan kematian belum dapat diketahui.

Australia sebelum ini mampu mengelak situasi terburuk Covid-19 berbanding negara maju lain, kini melaporkan sejumlah 2,200 kematian akibat virus itu dalam kalangan 26 juta penduduknya.

Pada Rabu, NSW – negeri paling padat penduduk di Australia – melaporkan tiga kematian akibat Omicron dan 625 dimasukkan ke hospital, termasuk 61 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lebih 10,000 menjalani kuarantin.

Victoria pula melaporkan empat kematian baharu dan 397 dimasukkan ke hospital, termasuk 62 di ICU.

Pihak berkuasa perubatan juga melaporkan pusat ujian saringan Covid-19 kini tidak dapat bersaing dengan lonjakan permintaan daripada penduduk.

Ribuan warga NSW menunggu berjam-jam minggu ini untuk menjalani ujian saringan, sesetengahnya adalah pengembara yang dikehendaki menunjukkan ujian PCR negatif sebelum tiba di Queensland.

Susulan tekanan yang diterima, Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk hari ini berkata negeri itu sedia menerima ujian antigen pantas dan bukannya PCR bagi pelancong dari kawasan panas Covid-19 mulai 1 Januari depan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR