Jangkitan harian Covid-19 di Britain melonjak lebih 100,000 kes

Britain melaporkan lebih 100,000 kes baharu Covid-19 dalam sehari – kali pertama sejak wabak itu menular di negara berkenaan akhir 2019 lalu – menambah tekanan dihadapi Perdana Menteri (PM) Boris Johnson sama ada akan mengenakan sekatan baharu selepas Krismas.

Kira-kira 106,122 kes baharu dicatatkan pada Rabu (22 Disember 2021) tatkala varian Omicron merebak pantas sekali gus memecah rekod gelombang Covid-19, melonjak lebih 15,000 kes pada Selasa, menurut data rasmi.

Sebelum Disember, United Kingdom (UK) tidak pernah merekodkan lebih daripada 70,000 kes positif Covid-19 sehari.

Angka yang belum pernah dicatat sebelum ini sekali gus meningkatkan kebimbangan berhubung kemungkinan kesan varian Omicron terhadap kemasukan ke hospital pada tahun baharu.

Kes disahkan Omicron di England meningkat sebanyak 13,106 kepada 69,147, kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK, manakala, kes di Scotland meningkat sebanyak 174 kepada 1,652, dan Wales daripada 301 kepada 941. Tiada jumlah terkini bagi Ireland Utara kerana komplikasi aliran data.

Lonjakan tinggi itu mencetuskan dilema besar bagi Johnson, yang kurang daripada 24 jam lalu berjanji tidak akan mengenakan sekatan baharu di England sebelum Krismas, sambil mengisyaratkan bahawa beliau mungkin perlu mengetatkan peraturan selepas itu.

PM Britain itu telah diperingatkan oleh penasihat saintifiknya, bahawa lebih cepat tindakan diambil, risiko teruk gelombang baharu penularan Covid-19 di negara itu akan semakin berkurangan.

Namun, Johnson yang merancang mengenakan semula sekatan yang ditamatkan pada Julai lalu, berdepan pula dengan kritikan dan penentangan Ahli Parlimen daripada partinya sendiri. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR