Jangkitan Covid-19 di Indonesia hampir cecah tiga juta

Sebanyak 38,325 kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Indonesia dalam tempoh 24 jam, menjadikan keseluruhan kumulatif kes di negara keempat paling padat penduduk di dunia itu kepada lebih 2.9 juta kes.

Pihak berkuasa negara itu juga melaporkan 1,280 lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan keseluruhan kes kematian sejak pandemik itu melanda Indonesia awal tahun lalu kepada 76,200 orang.

Pada masa sama 29,792 pesakit disahkan sembuh menjadikan kumulatif 2,323,666 kes.

Dalam pada itu Jakarta melaporkan kes sembuh paling tinggi di republik itu sebanyak 12,071 kes yang menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di ibu kota itu mencapai 652,242 kes.

Menurut laman web rasmi kerajaan corona.jakarta.go.id kadar kes sembuh di Jakarta mencapai 86.1 peratus dan angka kematian pula sebanyak 1.4 peratus.

Selain itu, bagi kes aktif atau pesakit yang menerima rawatan dan melakukan pengasingan diri di Jakarta pula telah menurun sebanyak 6,123 kes dan menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif kepada 94,673.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 10 pagi semalam, 265 pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di ibu kota itu mencapai 10,610 kes.

Bagaimanapun, ibu kota itu merekodkan lonjakan kes kepada 6,213 jangkitan, menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 757,525.

Melalui data yang ditunjukkan di Jakarta, lebih dari 27,199 individu telah menjalani ujian saringan berasaskan PCR dan 38,186 pula menjalani ujian spesimen secara sentuh.

Jumlah bagi ujian PCR per satu juta rakyat di Jakarta telah mencapai sebanyak 469,749 orang dengan peratusan bagi kes positif yang dilaporkan adalah sebanyak 15.1 peratus. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR