Jangkitan baharu Covid-19 di Singapura turun kepada 2,470 kes

Jangkitan baharu Covid-19 di Singapura turun daripada 3,163 kes yang dilaporkan pada Ahad, kepada 2,470 kes semalam, manakala 14 pesakit disahkan meninggal dunia.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata sejak awal tahun lalu hingga semalam negara itu merekodkan 200,844 kes positif dan 421 kematian.

Daripada jangkitan baharu yang direkodkan semalam, 2,189 kes membabitkan penularan di dalam komuniti, 278 kes di kawasan tempat tingga pekerja asing dan tiga kes import.

Kadar jangkitan mingguan turun kepada 1.05, berbanding 1.12 pada Ahad. Kadar jangkitan mingguan melebihi satu menunjukkan jumlah kes baharu mingguan masih meningkat.

Empat belas kematian itu pula membabitkan individu berusia 56 hingga 95 tahun yang menghidap pelbagai penyakit.

MOH juga berkata sehingga semalam 288 pesakit memerlukan oksigen di hospital kerajaan, 67 pesakit tidak stabil dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan 62 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Secara keseluruhan kata MOH, kadar penggunaan kemudahan di ICU adalah sebanyak 67.1 peratus, turun berbanding 68.3 peratus pada Ahad. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR