‘Jangan sentuh hijab saya’

May 8, 2021 · Dunia

Ketika perbahasan mengenai rang undang-undang (RUU) Perancis baru-baru ini, banyak tuduhan adalah berkaitan Islamofobia – cara RUU itu yang secara khusus menyasarkan pemakaian hijab mendapat kritikan sengit, terutama daripada wanita yang mengatakan bahawa memilih cara berpakaian adalah hak mereka yang diberikan Tuhan.

RUU itu akan melarang wanita, khususnya ibu memakai hijab ketika menemani anak mereka dalam perjalanan ke sekolah, melarang pemakaian jilbab di kawasan kolam renang umum, dan melarang kanak-kanak daripada menyembunyikan wajah mereka atau memakai simbol agama di khalayak.

Dalam melakukan tentangan terhadap RUU ini, sejumlah wanita Perancis memulakan gerakan ‘Jangan Sentuh Hijab Saya’ di media sosial.

Duygu Akin, 25, yang memulakan gerakan itu bersama beberapa wanita Muslim Perancis menceritakan mengenai sikap Islamofobia dan undang-undang di negaranya.

Beliau yang memakai tudung kepala berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang kewangan dan tinggal di Strasbourg berkata, isu hijab sudah lama menjadi kontroversi di Perancis.

Selepas seorang penggiat media sosial Britain menunjukkan penentangannya terhadap larangan hijab di Perancis dengan menulis ‘lepas tudung saya’ di atas tapak tangan, Akin dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk menterjemahkannya ke bahasa Perancis.

“Kami menulis #pastoucheamonhijab (jangan sentuh hijab saya) di atas tapak tangan dan memuat naik gambar itu ke media sosial. Dengan sokongan mereka yang melihat mesej kami, pergerakan kami menjadi meluas di media sosial,” katanya.

Katanya, pergerakan itu mendapat sambutan baik di Perancis dan negara luar.

“Malah sesetengah wartawan bertindak balas dengan begitu takjub bagaimana hijab menjadi isu besar di Perancis berbanding pandemik Covid-19,” katanya.

Akin berkata, memakai hijab ketika bersekolah adalah cabaran besar kerana pihak pentadbiran melarang pemakaiannya.

“Walaupun hanya syarikat awam yang melarang pemakaian tudung, banyak firma swasta yang tidak mengambil wanita berhijab dan memakai tudung kepala sebagai pekerja. Ini kerana terdapat persepsi buruk mengenai hijab di Perancis,” kata Akin.

Dalam melakukan tentangan terhadap rang undang-undang untuk mengharamkan pemakaian hijab, sejumlah wanita Perancis memulakan gerakan ‘Jangan Sentuh Hijab Saya’ di media sosial.

Sementara media Perancis menyiarkan tuduhan serius mengenai wanita yang memakai tudung, mereka tidak pernah diberi suara, tetapi mereka berjuang sendiri mengetengahkan suara mereka.

“Di Perancis, memilih dan mengamalkan agama adalah kebebasan asas dan hak kita. Larangan ini adalah bertentangan sepenuhnya dengan kebebasan kita. Kami, warga Perancis yang memakai hijab, menuntut kebebasan kami, yang merupakan hak kami,” katanya.

Akin mengatakan Perancis telah mendesak wanita Muslim menanggalkan hijab dan ‘mendapatkan kebebasan mereka’ sejak zaman penjajahan di Algeria.

Sambil menyatakan bahawa penduduk bandar seperti Strasbourg dengan populasi Muslim yang besar lebih biasa hidup bersama dan saling menghormati, Akin berkata:

“Di sesetengah wilayah di mana tidak ada orang Islam, penduduk di situ terlalu prejudis terhadap Muslim. Ini disebabkan mereka belajar mengenai Islam melalui media.”

Menurut Akin, dia dan rakannya mengambil bahagian dalam pergerakan ‘PasToucheAMonHijab’ dengan menulis surat kepada ahli Parlimen untuk menyatakan bantahan terhadap pengharaman hijab dan memohon sokongan mereka.

“Matlamat utama kami ialah menghalang RUU ini. Pastinya, ia tidak mencukupi, kerana kami mahu mengelakkan hijab ini tidak terus menjadi isu.

“Walaupun RUU itu tidak diluluskan, hakikat bahawa tudung kerap menjadi agenda menyebabkan wujud persepsi buruk dalam fikiran orang ramai. Kami juga mahu melawan hal ini.

“Ini adalah masalah Islamofobia. Kerana ia secara langsung menysarkan wanita Muslim yang memakai hijab,” katanya.

Akin berkata, Presiden Perancis Emmanuel Macron pada awalnya tidak mempunyai masalah terhadap pemakaian hijab, tetapi kemudian sikapnya berubah.

“Dia menghampiri akhir penggalnya dan dia berusaha mendapatkan undi daripada sayap kanan. Kami juga berasa wanita yang memakai jilbab digunakan untuk mengelak mereka membincangkan masalah lebih besar.

“Sebagai contoh, terdapat tunjuk perasaan Vest Kuning di seluruh negara, tetapi isu utama masih lagi hijab. Kemudian berlaku krisis kesihatan yang besar di seluruh dunia (Covid-19), tetapi hijab tetap menjadi topik utama perbincangan,” katanya.

Buat pertama kalinya, wanita Muslim yang memakai hijab mendapat hak untuk bersuara mengenai isu yang paling mempengaruhi mereka, sesuatu yang tidak mereka miliki sebelum ini.

“Idea utama di sebalik gerakan ‘jangan sentuh hijab saya’ adalah mengatakan ‘jangan menyentuh kebebasan saya, keputusan saya’,” kata Akin.

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Korea Selatan, AS dan Jepun mahu ambil tindakan terhadap Korea Utara
September 2, 2022
Harimau Malaya terkam pembersih Zoo Naples AS ditembak mati
December 30, 2021
Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok