Jakarta, Yogyakarta bakal berdepan malapetaka besar, kata menteri

Malapateka besar bakal melanda wilayah Jakarta dan Yogyakarta sekiranya penularan Covid-19 terus meningkat dalam masa seminggu atau dua minggu akan datang, kata Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin.

Beliau berkata, kedua-dua wilayah berkenaan akan menghadapi masalah kekurangan bilik dan katil hospital, sama ada di wad pengasingan Covid-19 atau di unit rawatan rapi (ICU).

“Sekiranya jangkitan masih meningkat sebanyak 30 peratus atau sekitar dua hingga tiga peratus sehari, dalam jangka masa dua minggu ini, Yogyakarta dan Jakarta akan memperoleh masalah yang teruk,” katanya.

Sehubungan itu katanya pemerintah Indonesia menetapkan dua strategi baharu yang akan dilaksanakan di dua wilayah itu, termasuk mengubah suai bilik rawatan biasa sedia ada di hospital untuk dijadikan bilik pengasingan Covid-19.

Sementara di Jakarta, lebih daripada 50 peratus bilik hospital telah ditukar menjadi bilik pengasingan Covid-19.

Pemerintah Indonesia juga telah menukarkan beberapa hospital besar menjadi hospital kecemasan dan menyediakan khemah di kawasan khas untuk kemudahan merawat pesakit Covid-19.

Selain itu, kementerian turut bekerjasama dengan Badan Usaha Milik Negara (BUMN) untuk mengubah satu bangunan hospital bagi dijadikan ICU, kata Budi Gunadi.

“Ia akan menjadi ruangan ICU yang dapat menempatkan 100 katil. Pesakit yang mengalami simptom kronik akan terus dibawa ke hospital itu,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR