Jakarta haram sambut Krismas, Tahun Baharu di tempat umum

Jakarta akan menyekat pergerakan orang ramai ketika cuti Krismas dan Tahun Baharu bagi mengekang dan mencegah penularan Covid-19. Sekatan itu akan bermula pada malam Krismas, 24 Disember hingga 2 Januari 2022.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan mengingatkan penduduk untuk tidak lalai terhadap kawalan diri selain terus mematuhi protokol kesihatan supaya tidak mengalami keadaan yang sukar seperti sebelum ini apabila jumlah jangkitan Covid-19 meningkat tinggi.

Mulai 24 Disember hingga 2 Januari, perayaan Krismas dan perayaan keagamaan mesti mengikut garis panduan dan ketetapan teknikal Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Dalam tempoh sekatan itu, Jakarta mengharamkan semua sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu di pusat beli-belah, kecuali pameran perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Kerajaan ibu kota juga melarang mana-mana pihak mengadakan parti sama ada di ruang terbuka dan tertutup sepanjang tarikh tersebut.

Tidak akan ada perarakan, festival muzik atau sebarang jenis perhimpunan yang boleh membawa kepada bahaya. Aktiviti di taman awam juga digantung dari 31 Disember hingga 1 Januari, kata Anies.

Langkah sekatan itu dibuat susulan pengumuman kes Omicron pertama di negara itu pada 16 Disember melibatkan seorang tukang cuci di sebuah hospital di Jakarta.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian akan mengenakan sekatan terhadap wilayah dengan kadar vaksinasi Covid-19 di bawah sasaran 70 peratus menjelang akhir 2021.

“Wilayah yang gagal mencapai sasaran akan diberi amaran secara lisan dan mereka tidak akan mendapat tambahan dana insentif,” katanya.

Indonesia melarang sambutan dan perayaan Krismas serta Tahun Baharu diadakan di pusat beli-belah mulai 24 Disember hingga 2 Januari. – Gambar Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR