Jakarta buka semula sekolah, jangkitan baharu di bawah 400 kes

Pemerintah Indonesia membuka semula sesi pembelajaran bersemuka di 600 sekolah sekitar Jakarta semalam setelah perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) dilonggarkan, namun kesatuan guru negara itu menggesa langkah berhati-hati diambil kerana bimbang penularan varian Delta.

Jakarta, dengan populasi hampir 11 juta penduduk, hari ini melaporkan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lalu hanya 341 kes daripada 7,657 ujian saringan yang dilakukan.

Pihak berkuasa Jakarta juga memberitahu jumlah jangkitan harian di ibu kota Indonesia itu turun daripada kemuncak jangkitan yang menyebabkan negara itu menjadi titik panas penularan Covid-19 di Asia, mengatasi India.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan berkata 610 daripada 10,000 sekolah yang dikenal pasti selamat, dibuka dengan kapasiti 50 peratus.

“Situasi penularan pandemik Covid-19 adalah lebih terkawal. Vaksinasi tidak menjadi mandatori di sekolah,” katanya sambil menambah 91 peratus daripada tenaga pengajar sudah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada hampir 11 juta penduduk Jakarta telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Namun, jurucakap persatuan guru-guru Indonesia pembukaan semula sekolah secara meluas akan mendatangkan risiko jangkitan di kalangan pelajar.

“Ia boleh mencetuskan kluster baharu.. ia boleh menyebabkan ramai kematian dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Sekolah berkenaan dibuka hanya pada Isnin, Rabu dan Jumaat manakala pada hari lain akan digunakan untuk melakukan proses semburan disinfeksi di setiap bilik darjah.

“Semua guru, pelajar dan ibu bapa sangat teruja dengan dasar baharu yang dilaksanakan ini kerana kami sudah lama tidak belajar secara bersemuka di kelas, dan sebelum ini hanya melakukan pembelajaran di alam maya sejak sekolah ditutup pada 16 Mac tahun lalu,” kata Nidia Khaofiya, 27, seorang guru di sebuah sekolah di Jakarta Timur.

Persediaan pembukaan semula sekolah telah dilakukan supaya pelajar dapat mengikut peraturan baharu yang telah ditetapkan, termasuk mencuci tangan dan menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Tugas seorang guru di sekolah akan bertambah kerana kita harus memastikan setiap pelajar mengikut SOP yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka dan kita perlu melatih pelajar untuk menjaga jarak sosial ketika berada di sekolah,” kata Nidia.

Sebelum ini, Jakarta merupakan salah satu wilayah yang paling teruk di landa Covid-19 dan telah mencatatkan jumlah kes harian yang tertinggi tetapi semakin menunjukkan penurunan sejak beberapa minggu lalu. Pada 12 Julai lalu, terdapat 14,600 kes jangkitan harian yang dilaporkan di bandar raya itu.

“Semuanya berjalan lancar dan angka kes aktif, kadar penggunaan katil di hospital dan kematian akibat Covid-19 semakin berkurang dengan konsisten kerana perlaksanaan penutupan sekatan yang dijalankan dan proses vaksinasi semakin meningkat,” kata Pandu Riono, Ahli Epidemiologi dari Universiti Indonesia

Data ‘Save the Childern’ dari bulan Julai menunjukkan, terdapat 351,336 kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun telah dijangkiti Covid-19 di Indonesia. Daripada jumlah itu 777 kematian dilaporkan.

Data ini menunjukkan kematian dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia semakin meningkat akibat jangkitan Covid-19.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut memaklumkan peratusan jumlah kes Covid-19 bagi kanak-kanak di bawah 18 tahun telah meningkat kepada 12.9 peratus berbanding 5 peratus pada Julai tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR