Jadikan ‘seluar dalam’ pelitup muka, lelaki diarah turun pesawat

Seorang penumpang yang menjadikan ‘seluar dalam’ sebagai pelitup muka diarah turun dari sebuah pesawat di Florida, Amerika Syarikat (AS) kerana tidak mematuhi peraturan dan protokol Covid-19, lapor media negara itu semalam.

Adam Jenne, 38, diminta turut sebelum pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Fort Lauderdale, kerana enggan menggantikan ‘pelitup muka’.

‘Seluar dalam’ yang dipakainya atau dalam istilah lain ‘thong’, biasanya digunakan wanita dan reka bentuknya menyamai ‘G String’. G String dianggap sebagai sejenis ‘thong’ manakala thong pula adalah sejenis seluar dalam.

Jenne terpaksa turun dari penerbangan itu kerana dia bertegas bahawa memakai ‘thong’ merah sebagai topeng muka mematuhi peraturan Covid-19, lapor media tempatan.

Memberitahu stesen berita NBC2, Jenne mendakwa dia mahu menunjukkan bahawa ‘tidak masuk akal’ untuk memaksa penumpang memakai pelitup muka tetapi membenarkan mereka menanggalkannya ketika makan atau minum di dalam pesawat.

Video insiden pada Rabu lalu yang dirakam penumpang lain, menunjukkan kru memberitahu Jenne bahawa dia tidak akan dibenarkan berada dalam penerbangan itu sekiranya enggan menanggalkan ‘thong’ itu.

Setelah beberapa perbincangan dilakukan, dia kemudian meninggalkan kerusinya.

Jenne mendakwa, dia telah memakai seluar dalam pada mukanya ketika menaiki beberapa pesawat sebelum ini, malah memberitahu kru penerbangan bahawa ‘ia adalah pelitup muka yang berfungsi.’

Sementara itu, United Airlines dalam satu kenyataan menjelaskan, ‘pelanggan terbabit jelas tidak mematuhi peraturan persekutuan mewajibkan pemakaian pelitup muka’ dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“Kami menghargai tindakan pasukan kami menangani isu terbabit di lapangan selepas pesawat berlepas, sekali gus mengelakkan sebarang potensi gangguan ketika berada di udara,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR