Ivermectin tak berkesan kurangkan jangkitan Covid: Kajian terbaharu

Ivermectin, ubat antiparasit – yang dikatakan popular sebagai penawar alternatif Covid-19 walaupun kekurangan penyelidikan kukuh yang menyokongnya – tidak menunjukkan tanda-tanda berjaya mengurangkan jangkitan itu, menurut ujian klinikal bersaiz besar yang diterbitkan pada Rabu (30 Mac 2022).

Kajian itu, yang membandingkan lebih daripada 1,300 individu dijangkiti virus SARS-CoV-2 di Brazil yang menerima sama ada Ivermectin atau plasebo, menolak ubat itu sebagai penawar untuk Covid-19, kata penulis kajian itu.

“Benar-benar tiada apa-apa faedah,” kata Dr David Boulware, pakar penyakit berjangkit di Universiti Minnesota seperti dilaporkan New York Times (NYTimes).

Para penyelidik berkongsi ringkasan keputusan itu pada Ogos ketika pembentangan dalam talian yang dihoskan Institut Kesihatan Nasional (NIH), tetapi set data penuh belum diterbitkan sehingga kini dalam Jurnal Perubatan New England.

“Sekarang orang boleh menyelami butiran dan data. Mudah-mudahan itu akan memacu majoriti doktor daripada Ivermectin ke arah terapi lain,” kata Dr Boulware.

Selama beberapa dekad, Ivermectin telah digunakan secara meluas untuk merawat jangkitan parasit. Pada awal pandemik, apabila penyelidik mencuba beribu-ribu ubat lama terhadap Covid-19, kajian makmal pada sel mencadangkan bahawa Ivermectin mungkin menyekat virus SARS-CoV-2.

Pada masa itu, orang yang ragu-ragu menunjukkan bahawa kajian berkenaan berjaya kerana kepekatan dadah yang tinggi – jauh melebihi tahap selamat untuk orang ramai.

Beberapa doktor bagaimanapun mula menetapkan Ivermectin untuk merawat Covid-19, walaupun amaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) bahawa ia tidak diluluskan untuk penggunaan sedemikian.

Di seluruh dunia, penyelidik menjalankan ujian klinikal secara kecil-kecilan untuk melihat sama ada ubat itu mampu merawat penyakit berkenaan, lapor NYTimes.

Pada Disember 2020, Dr Andrew Hill, pakar virus Universiti Liverpool di England, menyemak keputusan 23 ujian dan menyimpulkan bahawa Ivermectin kelihatan menurunkan risiko kematian akibat Covid-19 dengan ketara.

Jika ujian yang lebih besar mengesahkan penemuan tersebut, Dr Hill berkata ketika pembentangan pada masa itu: “Ini benar-benar akan menjadi rawatan transformatif.”

Populariti Ivermectin terus meningkat pada tahun kedua wabak itu. Penyampai audio dan video dalam talian, Joe Rogan mempromosikannya berulang kali dalam rancangannya.

Dalam seminggu pada Ogos, syarikat insurans AS membelanjakan AS$2.4 juta untuk membayar rawatan Ivermectin.

Tetapi tidak lama selepas Dr Hill menerbitkan ulasannya pada musim panas lalu, laporan muncul bahawa banyak kajian yang dimasukkannya dalam analisis adalah cacat dan, dalam sekurang-kurangnya satu kes, didakwa sebagai penipuan. Dr Hill menarik balik kajian asalnya dan memulakan kajian baharu, yang diterbitkan pada Januari.

Pada ulasan kedua, Dr Hill dan rakan-rakannya memberi tumpuan kepada kajian yang paling tidak berat sebelah. Dalam tinjauan yang lebih ketat itu, manfaat Ivermectin telah hilang.

Namun, walaupun kajian terbaik tentang ivermectin dan Covid-19 adalah kecil, dengan sekurang-kurangnya beberapa ratus sukarelawan. Kajian kecil boleh terdedah kepada kebetulan statistik yang mencadangkan kesan positif apabila tiada yang benar-benar wujud.

Tetapi kajian yang lebih besar mengenai Ivermectin sedang dijalankan pada masa itu, dengan dilakukan secara lebih ketat.

Di Brazil, penyelidik menyediakan ujian klinikal yang dikenali sebagai ‘Together’ pada Jun 2020 untuk menguji pesakit Covid-19 dengan beberapa ubat yang digunakan secara meluas, termasuk Ivermectin.

Menerusi rawatan itu, pesakit dan kakitangan perubatan tidak tahu sama ada mereka menerima ubat rawatan Covid-19 atau plasebo.

Dalam satu pusingan percubaan, para penyelidik menemui bukti bahawa ubat antikemurungan yang dipanggil Fluvoxamine mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak satu pertiga. Para penyelidik menerbitkan keputusan mereka pada Oktober dalam The Lancet Global Health.

Dalam kajian terbaharu yang diterbitkan pada Rabu, pasukan Together melaporkan data Ivermectin. Antara Mac dan Ogos 2021, para penyelidik menyediakan ubat itu kepada 679 pesakit dalam tempoh tiga hari.

Keputusannya jelas: Mengambil Ivermectin tidak mengurangkan risiko pesakit Covid-19 untuk dimasukkan ke hospital.

Dr Hill menjalankan analisis kajian Ivermectin sekali lagi, dan kali ini termasuk data baharu daripada percubaan Together. Analisisnya, termasuk lebih daripada 5,000 orang, sekali lagi menunjukkan Ivermectin tidak memberi manfaat.

Namun, terdapat beberapa percubaan rawak berterusan Ivermectin, dengan beribu-ribu sukarelawan, yang masih belum berkongsi keputusan mereka.

Pusat Kebangsaan untuk Memajukan Sains Translasi, yang merupakan sebahagian daripada NIH, telah menjalankan satu percubaan Ivermectin dan beberapa ubat lain untuk pesakit Covid-19 yang diawasi rapi selama lebih daripada setahun. Tetapi ia masih belum mengeluarkan keputusan.

Dr Sarah Dunsmore, pengarah program di bahagian inovasi klinikal di pusat itu, berkata penyelidik sedang menganalisis keputusan kumpulan pertama mengenai Ivermectin dan akan mengeluarkannya dalam masa dua hingga tiga bulan.

Dr Boulware meragui bahawa percubaan tambahan akan memberi kesimpulan berbeza, kerana percubaan Together sangat besar dan direka dengan teliti.

“Jarang sekali anda mengharapkan untuk mencari sesuatu yang berbeza,” katanya.

Dr Paul Sax, pakar penyakit berjangkit di Brigham and Women’s Hospital di Boston yang tidak terlibat dalam percubaan Together, berkongsi pandangan Dr Boulware.

“Saya mengalu-alukan keputusan ujian klinikal lain dan akan melihatnya dengan fikiran terbuka, tetapi pada satu ketika ia akan menjadi pembaziran sumber untuk terus mengkaji sesuatu yang tidak menjanjikan apa-apa,” katanya.

Pada 22 Jun 2021, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) susulan keengganan menggunakan Ivermectin sebagai rawatan bagi mencegah penularan Covid-19.

Laporan polis itu dibuat kira-kira jam 11 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang turut dihadiri Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

PPIM dalam satu kenyataan memaklumkan laporan itu dibuat sebagai inisiatif inklusif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam memperjuangkan hak kepenggunaan yang dilihat seakan tiada kompromi daripada pihak atasan dalam mempertimbangkan kaedah dan rawatan alternatif sebagai usaha mencegah penularan Covid-19.

19 Mac lalu, KKM sekali lagi mengulangi pendirian bahawa penggunaan Ivermectin bagi rawatan Covid-19 adalah tidak bersesuaian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihak yang mendesak penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19 perlu menyedari bahawa Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum ini sudah memaklumkan, tiada produk dengan bahan aktif Ivermectin berdaftar untuk kegunaan manusia.

BERITA BERKAIT
POPULAR