
Duta Rusia Sergei Lavrov.
Menteri Luar Israel Yair Lapid membidas rakan sejawatnya dari Rusia, Sergei Lavrov selepas mendakwa diktator, Adolf Hitler mungkin “memiliki darah Yahudi” dan bertindak memanggil duta Moscow bagi mendapatkan “penjelasan”.
Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari, Israel berusaha untuk mengekalkan keseimbangan antara kedua-dua pihak, tetapi kenyataan Lavrov dalam saluran media Itali mencetuskan kemarahan di Israel.
Moscow sebelum ini berkata ia mahu “menyahkan tentera” dan “menyahNazi” Ukraine.
Lavrov, bercakap kepada saluran Rete 4 Mediaset Itali dalam temu bual yang disiar pada Ahad, mendakwa Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky “mengemukakan hujah tentang jenis Nazisme yang boleh mereka miliki jika beliau sendiri adalah Yahudi”.
Lavrov, menurut transkrip yang disiarkan di laman web Kementerian Luar Rusia, kemudian menambah: “Saya boleh salah, tetapi Hitler juga mempunyai darah Yahudi”.
Lapid dalam satu kenyataan daripada Kementerian Luarnya mengutuk kenyataan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai “kenyataan yang tidak boleh dimaafkan dan keterlaluan serta kesilapan sejarah yang dahsyat”.
“Orang Yahudi tidak membunuh diri mereka dalam Holocaust,” kata Lapid.
“Tahap perkauman yang paling rendah terhadap orang Yahudi ialah menuduh orang Yahudi sendiri antisemitisme.”
Kementerian Luar Israel “sudah memanggil Duta Besar Rusia ke Israel untuk memberikan penjelasan”, tambah kenyataan itu.
Perdana Menteri Naftali Bennett kemudian mengecam “pembohongan” Lavrov dengan mengatakan “menuduh orang Yahudi sendiri melakukan jenayah paling dahsyat dalam sejarah” yang dilakukan terhadap mereka.