Indonesia yakin suntikan dos ketiga ‘penguat vaksin’

Indonesia tetap memberi suntikan dos ketiga kepada kakitangan perubatannya walaupun tidak digalakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. - Gambar AP

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia mempertahankan rancangan memberi suntikan tambahan dos ketiga kepada kakitangan perubatannya sambil menyifatkannya sebagai selamat kerana ia merupakan ‘penguat vaksin’.

Kementerian itu juga mempertahankan hasil kajian perubatan secara rasmi yang menyokong suntikan tambahan dos ketiga disediakan walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mempersetujui hasil kajian itu.

Jurucakap pasukan petugas Covid-19 Indonesia, Siti Nadia Tarmizi berkata kumpulan penasihat teknikal mengenai imunisasi sudah memberi persetujuan untuk suntikan dos tambahan tersebut bagi pekerja kesihatan yang telah menerima dos lengkap.

“Ini bermaksud semua aspek keselamatan sudah dipertimbangkan,” katanya.

Menurutnya, pemberian vaksin tambahan ini sudah dibuat oleh Ikatan Perubatan Indonesia (IDI) dan telah dibincangkan pada peringkat antarabangsa oleh jawatankuasa bersama vaksinasi dan imunisasi WHO.

Beliau memaklumkan sejumlah kajian percubaan klinikal telah dilakukan dan menunjukkan hasil positif yang mendapati bahawa penguat vaksin ini dapat meningkatkan perlindungan bagi antibodi seseorang ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, WHO belum mengeluarkan keputusan rasmi untuk meluluskan penggunaan suntikan vaksin tambahan itu kerana organisasi itu masih menumpukan kepada pengeluaran vaksin Covid-19 bagi menampung jumlah penduduk di seluruh dunia.

Semalam, Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan menasihatkan orang ramai agar tidak mencampuradukkan vaksin Covid-19 daripada pengeluar yang berlainan.

Ini kerana katanya, hanya ada sedikit sahaja data kajian mengenai kesannya terhadap kesihatan dan perbuatan mencampuradukkan vaksin berbeza itu menjadi ‘trend berbahaya’. – Agensi

POPULAR