Kerajaan Indonesia mewajibkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 terhadap pengembara yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya.
Langkah diambil Indonesia itu merupakan sebahagian pencegahan awal bagi mengelak peningkatan kes Covid-19 selepas cuti panjang nanti.
Bagi mereka yang belum menerima dos penggalak, pihak berkuasa mengarahkan supaya mengemukakan sijil ujian calitan antigen, kata jurucakap yang juga ketua Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19, Prof. Wiku Adisasmito.
“Sudah tentu semua (pengembara pulang hari raya) mesti menerima suntikan dos penggalak dan memenuhi keperluan perjalanan. Kanak-kanak berumur 6 hingga 17 tahun dikecualikan daripada ujian antigen kerana vaksin penggalak (untuk kumpulan umur) tidak tersedia,” katanya.
“Itu adalah keperluan yang mesti disertakan dengan penggunaan aplikasi PeduliLindungi,” tambahnya.
Susulan syarat baharu tersebut bagi pengembara yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri 2022, pengembara domestik yang menerima dos penggalak tidak lagi perlu menjalani ujian PCR bagi mengesan jangkitan Covid-19.
Mereka tidak lagi perlu menunjukkan keputusan negatif RT-PCR atau ujian pantas antigen, tambahnya.
Sementara itu, keperluan ujian PCR dan antigen akan dikenakan kepada pengembara domestik yang hanya menerima vaksinasi penuh (dua dos), katanya lagi.