
Pegawai perbandaran menutup bar Holywings selepas polis mendakwa enam pekerja atas tuduhan menghina agama berhubung aktiviti promosi yang menawarkan alkohol percuma untuk orang bernama "Muhammad" atau "Maria" di Jakarta, Indonesia, pada Selasa, 28 Jun 2022. - Gambar Reuters
Pihak berkuasa Indonesia membatalkan permit operasi sebuah bar dan rangkaian restoran di Jakarta selepas polis mendakwa enam pekerja atas tuduhan menghina agama berhubung promosi menawarkan minuman percuma kepada individu bernama ‘Mohammad’ atau ‘Maria’.
Pengkritik berkata undang-undang menghina agama Indonesia yang ketat digunakan bagi menghakis reputasi lama untuk toleransi dan kepelbagaian di negara majoriti Muslim terbesar di dunia.
Promosi minuman di rangkaian “Holywings” mendorong siasatan polis selepas aduan kumpulan agama.
Keenam-enam mereka didakwa mengikut undang-undang penghinaan agama, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, dan peruntukan undang-undang, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Dalam catatan media sosial yang kemudiannya dipadamkan, rangkaian bar itu menawarkan sebotol gin percuma untuk lelaki bernama Mohammad dan wanita bernama Maria setiap Khamis.
Pada Selasa (28 Jun), 12 cawangan bar dan restoran itu di ibu negara ditutup selepas pihak berkuasa menyatakan mereka tidak mempunyai lesen untuk menghidangkan alkohol, kata kerajaan tempatan Jakarta dalam satu kenyataan di laman webnya.
Holywings Indonesia memohon maaf di atas promosi itu, yang dikatakan dibuat tanpa pengetahuan pihak pengurusan.
Polis berkata pekerja itu mereka promosi berkenaan dalam usaha untuk memenuhi sasaran jualan.
Andreas Harsono, penyelidik Hak Asasi Manusia Indonesia berkata undang-undang fitnah dan peraturan yang mengawal aktiviti dalam talian menjadi “semakin berbahaya”.
“Enam individu ini baru sahaja membuat promosi arak, mungkin mengarut di negara yang semakin Islamik ini, tetapi tiada jenayah langsung mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Undang-undang penghinaan terhadap agama itu kebanyakannya digunakan terhadap mereka yang dianggap menghina Islam, termasuk bekas gabenor Kristian Jakarta Basuki “Ahok” Purnama, yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada 2017 atas tuduhan menghina agama secara meluas yang dilihat bermotifkan politik.
Indonesia telah memenjarakan lebih 150 orang, kebanyakannya daripada agama minoriti, sejak undang-undang penghinaan agama diluluskan pada 1965. – Reuters