Indonesia tunda tunaikan ibadah umrah sehingga 2022

Kerajaan Indonesia hari ini mengesahkan penangguhan ibadah umrah republik itu ke Mekah sehingga tahun depan susulan ancaman jangkitan Covid-19.

Pengumuman itu dilaksanakan susulan rayunan Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan Menteri Agama, Yaqut Choilil Qoumas menggesa supaya rakyatnya tidak melancong ke luar negara.

Ketua Pengarah Haji dan Umrah (PHU) di Kementerian Agama, Hilman Latief memaklumkan keputusan mengenai isu itu dibuat selepas ia dibincangkan ketika pertemuan dengan Persatuan Penganjur Kembara Umrah (PPIU).

“Keputusan menangguhkan ibadah umrah ini dibuat dengan mengutamakan kesihatan jemaah ketika pandemik COVID-19 selepas kemunculan varian baharu Omicron.

“Persatuan PPIU menyokong saranan pemerintah untuk menangguhkan pelepasan ke luar negara biarpun rancangan umrah tertangguh lagi, semua pihak perlu faham pandemik belum berakhir, malah varian baharu yang lebih berbahaya kini sudah dikesan.

“Ada harapan pelepasan dilakukan walaupun jumlahnya berkurangan tetapi secara umumnya, persatuan PPIU memahami dan mematuhi rayuan untuk tidak ke luar negara,” jelasnya.

Beliau berharap rayuan larangan perjalanan ke luar negara bukan saja terpakai kepada jemaah umrah tetapi juga kepada semua rancangan penerbangan ke luar negara.

Tambahnya, sebagai pengawal selia dan penyelia pelaksanaan ibadah umrah, Kementerian Agama terus berhubung dengan semua pihak berkaitan untuk terus berusaha ke arah pelaksanaan umrah yang sihat lagi selamat.

“Pelaksanaan umrah ketika pandemik juga menjadi titik tolak pelaksanaan ibadah haji pada tahun depan, dengan mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 ketika itu.

“Penangguhan ini sememangnya satu keputusan yang pahit tetapi dilaksanakan untuk kebaikan bersama. Kami berharap semua dapat memahami dan semoga ada pengajaran daripada keputusan ini,” jelasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR