Indonesia terima lebih 100 juta dos vaksin Covid-19

Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi memaklumkan pemerintah republik Indonesia menerima lebih 100 juta dos vaksin Covid-19 melalui kerjasama dua hala dan multilateral dengan negara luar.

Katanya, Indonesia telah memperoleh hampir 119,735,200 dos vaksin hasil kerjasama bilateral dan multilateral.

Beliau turut menjelaskan bahawa dari jumlah tersebut, Indonesia memperoleh lebih 108.5 juta dos suntikan vaksin Sinovac dan 1.5 juta dos dari Sinopharm yang dihasilkan dari syarikat farmasi di China.

“Selebihnya pula adalah vaksin AstraZeneca iaitu sebanyak 8,236,800 dos dan melalui COVAX yang dihasilkan di Jepun sebanyak 998,400 dos,” katanya.

Emiriah Arab Bersatu turut memberikan bekalan sebanyak 500,000 dos vaksin kepada Indonesia bagi menunjukkan sokongannya terhadap tindak balas jangkitan Covid-19 di republik itu.

“Dengan jumlah vaksin yang telah diperoleh Indonesia setakat ini, ia dapat memberikan hampir 49.618 juta dos suntikan untuk sehari dan ini adalah program vaksinasi terbesar di Asia.”

Marsudi turut memaklumkan bahawa pemerintah Indonesia akan terus melakukan pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyatnya dengan mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin seperti yang diarahkan oleh Presiden Joko Widodo.

“Dalam beberapa hari lagi, Indonesia akan menerima bekalan vaksin pertama dari Amerika Syarikat yang terdiri dari tiga juta vaksin jenis Moderna. Manakala, Jepun turut akan menghantar sejumlah 1.1 juta dos vaksin jenis AstraZeneca selepas penghantaran pertama itu diterima.

“Indonesia juga akan menerima lebih banyak bekalan vaksin yang dijangka tiba bulan ini. Bekalan vaksin itu akan diterima dari Australia, Jepun, Belanda, United Kingdam, UAE dan melalui COVAX,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR