Indonesia tempat pertama Indeks Pemulihan Covid-19 di Asia Tenggara

Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mengungguli kedudukan teratas dalam Indeks Pemulihan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Nikkei Indeks pada Jumaat lalu.

Selain itu, pada peringkat global, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya menduduki tempat teratas bagi kategori dunia dengan memperoleh lebih 74 skor dalam indeks itu.

Data itu diambil dari bulan Oktober lalu dan penilaian terhadap sesebuah negara serta wilayah dikeluarkan berdasarkan maklumat yang dikumpul dari kadar jangkitan, vaksinasi dan pergerakan sosial.

Semakin tinggi peringkat dan tahapnya, semakin hampir sesebuah negara serta wilayah itu dengan kadar pemulihan.

Melalui data dari indeks itu, Indonesia merekodkan nilai skor sebanyak 56, iaitu menunjukkan peningkatan dari 54.5 sebelum ini.

Selain Indonesia, beberapa negara lain seperti Kuwait dan Jordan turut mendapat skor sebanyak 56.

Secara tidak langsung, Indonesia sudah menduduki tangga tertinggi bagi seluruh negara di Asia Tenggara dalam indeks pemulihan Covid-19.

Manakala bagi peringkat global, Indonesia menduduki tangga ke 41 daripada 121 negara yang dinilai dalam indeks Nikkei.

Berikut merupakan beberapa negara Asia Tenggara dan skor yang diperoleh dalam indeks itu, diikuti dengan Indonesia (56), Kemboja di tangga kedua dengan 55 skor, Malaysia di tempat ketiga dengan jumlah skor sebanyak 54.5, Thailand (43.5), Vietnam (43.5), Singapura (42), Filipina (41.5), Myanmar (39.5) dan Laos (24).

Sementara itu, semalam Indonesia merekodkan penurunan kes harian dengan hanya 622 kes baharu akibat jangkitan Covid-19 yang dilaporkan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR