Indonesia tak benar pesakit Omicron jalani kuarantin di rumah

Pemerintah Republik Indonesia tidak membenarkan mana-mana individu yang dijangkiti varian baharu Covid-19, Omicron, menjalani kuarantin kendiri di rumah atau kediaman.

Langkah itu bertujuan menghalang varian berkenaan merebak dalam kalangan ahli keluarga dan komuniti, disebabkan Omicron adalah varian yang paling pantas menjangkiti dan menular.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) Dr Siti Nadia Tarmizi dilaporkan berkata semua individu yang dijangkiti varian Omicron diasingkan di kemudahan disediakan, bukan kuarantin sendiri.

Dasar semasa tidak membenarkan mana-mana kes positif Omicron untuk mengasingkan diri, katanya.

Menurutnya, kerajaan menjangkakan kemungkinan lonjakan kes Omicron pada penghujung Januari yang boleh membawa kepada gelombang sengit tetapi dalam jangka masa yang pendek.

Indonesia sebelum ini melaporkan jangkitan baharu melibatkan varian Omicron di seluruh negara itu meningkat tiga kali ganda dalam tempoh seminggu, dengan kira-kira 90 peratus daripadanya adalah kes import.

Peningkatan itu sekali gus menyebabkan pemerintah republik berkenaan merayu rakyatnya supaya menangguhkan sementara keluar negara untuktujuan melancong.

Sehingga Ahad, jumlah jangkitan melibatkan varian Omicron mencecah 414 kes, berbanding 136 pada akhir Disember, lapor Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI).

Kebanyakan kes adalah warga Indonesia dan mereka yang telah diberi vaksin sepenuhnya, menurut Dr Siti Nadia sambil menambah sebilangan besar pengembara yang diuji positif Omicron pulang dari Turki, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

Orang ramai perlu berwaspada bagi mengelakkan gelombang ketiga Covid-19 melanda, katanya.

Beliau berkata penyebaran Omicron di Indonesia terus meningkat sejak kes pertama disahkan pada 16 Disember 2021.

Indonesia sering menyaksikan lonjakan jangkitan selepas cuti umum, termasuk cuti Hari Raya pada Mei 2021 apabila berjuta-juta penduduk mengabaikan amaran rasmi kerajaan dan mengembara di seluruh kepulauan Indonesia.

Jangkitan dan kematian kemudian melonjak, hospital dipenuhi pesakit sehingga kekurangan bekalan oksigen, sementara kakitangan kesihatan pula semakin keletihan. Ia adalah gelombang kedua Covid-19 di negara itu selepas gelombang berskala lebih kecil pada Januari dan Februari.

Hari ini, banyak wilayah di Indonesia telah beransur-ansur kembali ke arah kehidupan yang normal selepas negara itu berjaya mengawal keadaan.

Seperti di negara lain, jangkitan Omicron di Indonesia kurang teruk tetapi lebih mudah menular, sementara pakar epidemiologi Windhu Purnomo dari Universiti Airlangga memberi amaran bahawa setiap kes yang dikesan hanya sebahagian kecil yang boleh dilihat daripada situasi atau masalah yang jauh lebih besar dan belum muncul.

Kebanyakan yang dijangkiti adalah tanpa gejala atau menunjukkan simptom ringan, dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa atau mendapatkan rawatan.

Dr Windhu memberitahu radio Elshinta yang berpangkalan di Jakarta: “Terdapat begitu banyak kes Omicron yang belum dikesan.” – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR