Indonesia suntik penduduk bersempadan dengan Malaysia

Hampir 185 penduduk yang tinggal berhampiran kawasan sempadan Indonesia-Malaysia di Kecamatan Batang Lupar, Dusun Kuluas Hulu dan di Wilayah Kalimantan Barat, sudah diberi suntikan vaksin Covid-19.

Jurucakap Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Leftenan Timur Edy berkata program vaksinasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Indonesia dan pusat kesihatan masyarakat.

“Vaksinasi besar-besaran ini adalah salah satu usaha untuk memutuskan rantaian penyebaran Covid-19 terutama di kawasan sempadan Indonesia-Malaysia.

“Namun dalam usaha untuk menangani wabak ini, kita memerlukan penglibatan daripada semua pihak termasuk masyarakat setempat,” katanya.

Beliau mengingatkan penduduk di sepanjang sempadan kedua-dua negara supaya meningkatkan kesedaran dan berwaspada terhadap penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes harian yang dilaporkan semalam.

Indonesia semalam merekodkan jangkitan harian sebanyak 27,913 kes baharu dan 493 kematian.

Jumlah kes sembuh harian pula mencatat sebanyak 13,282 sementara jumlah kes yang masih aktif ialah sebanyak 281,677.

Sejak kerajaan mengumumkan kes pertama Covid-19 pada 2 Mac 2020, jumlah keseluruhan jangkitan telah mencapai sebanyak 2,256,851 kes dan jumlah kematian meliputi 60,027 kes.

Gelombang kedua Covid-19 menyebabkan peningkatan kes jangkitan secara drastik di beberapa wilayah, terutama di Jakarta dan Kota-kota lain di Pulau Jawa.

Sekatan penuh terhadap aktiviti awam telah dikenakan di seluruh Jakarta yang bermula dari 3 Julai hingga 20 Julai 2021. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR