Indonesia sedia berdepan 100,000 kes Covid-19 sehari

Indonesia kini bersiap sedia berdepan penularan terburuk wabak Covid-19 susulan peningkatan kes harian baharu sejak beberapa hari lalu, kata menteri kanan republik itu hari ini sambil mengingatkan bahawa jangkitan tersebar dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan kerana varian Delta yang lebih mengganas.

Negara terpadat keempat di dunia itu kini sedang berjuang untuk mengurangkan penularan Covid-19, walaupun telah melaksanakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’ di Pulau Jawa dan Bali, bermula 3 Julai hingga 20 Julai ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Catatan jangkitan baharu pada Rabu sahaja sebanyak 54,517 adalah peningkatan 10 kali ganda daripada yang direkodkan awal bulan lalu.

Pada sidang media yang disiarkan secara maya hari ini, menteri kanan Luhut Pandjaitan berkata kes harian jangkitan Covid-19 boleh meningkat setiap hari kerana varian Delta yang pertama kali ditemukan di India, mempunyai masa inkubasi dua hingga tiga minggu.

“Kami sudah berada dalam keadaan terburuk,” kata Luhut.

“Sekiranya kita bercakap tentang 60,000 (kes sehari) atau lebih sedikit daripada itu, kita dalam keadaan baik. Kami berharap ia tidak sampai 100,000. Tetapi jika sampai ke tahap itu pun, kami bersiap untuk itu,” katanya lagi.

Bagi menangani kekurangan tempat di hospital, pemerintah republik itu turut mengubah suai beberapa bangunan untuk dijadikan pusat pengasingan pesakit Covid-19, mengarahkan doktor dan jururawat baharu untuk merawat pesakit dan menambah bekalan oksigen serta ubat-ubatan, katanya.

Hospital di Pulau Jawa – wilayah paling padat penduduk – sejak beberapa minggu lalu telah dibanjiri dengan pesakit yang berjuang untuk mendapatkan kemudahan rawatan, sementara ratusan lagi meninggal dunia ketika kuarantin di rumah.

Kes dan kadar penggunaan katil hospital turut meningkat di Pulau Sumatera, Kalimantan dan wilayah terpencil seperti Papua Barat yang kurang dilengkapi peralatan moden untuk menangani kenaikan mendadak pesakit Covid-19.

Luhut mendedahkan tahap keberkesanan vaksin sedia ada bagi melawan varian Delta juga rendah, menyebabkan jangkitan terus menular, namun beliau menggesa penduduk terus mendapatkan imunisasi.

“Pemerintah Republik Indonesia sedang menilai situasi jangkitan Covid-19 untuk membuat keputusan sama ada PPKM Darurat yang akan tamat 20 Julai nanti, akan dilanjutkan atau tidak,” katanya.

Terdahulu pakar perubatan semakin bimbang berhubung tahap penularan varian Delta yang mudah merebak kini tersebar di seluruh kepulauan Jawa dan Bali.

“Saya meramalkan wabak akan meningkat secara berterusan pada bulan Julai kerana kita belum dapat mencegah penyebaran jangkitan itu.

“Sekatan sosial kecemasan masih tidak mencukupi. Ianya harus dua kali lebih ketat kerana kita menghadapi varian Delta, yang dua kali lebih mudah menular,” kata pakar epidemiologi Universiti Indonesia, Dr Pandu Riono.

Jangkitan harian di Indonesia semalam yang melepasi angka 54,000 – melepasi jumlah kes harian di India – menjadikan negara republik itu sebagai titik panas baharu Covid-19 di Asia. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR