Indonesia rekod kes tertinggi baharu melepasi 38,000 jangkitan Covid-19

Indonesia merekodkan kes tertinggi baharu hari ini. - Gambar Reuters

Kes baharu Covid-19 di negara keempat paling ramai penduduk di dunia, Indonesia, terus mencanak naik melebihi 38,000 kes, sekali gus kekal menjadi negara terburuk dilanda wabak itu di Asia Tenggara.

Tatkala penularan varian Delta yang pertama kali dikesan di India semakin meluas di seluruh republik itu, jumlah kematian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadi yang kedua tertinggi apabila merekodkan 852 kes.

Dengan gelombang virus Covid-19 yang meluas itu, sistem perkhidmatan kesihatan negara berkenaan berada di ambang keruntuhan.

Susulan jangkitan baharu hari ini sebanyak 38,391 kes, negara itu kini telah merekodkan lebih 2.41 juta kes, termasuk 63,760 kematian, lapor pasukan petugas Covid-19 Indonesia.

Jumlah pesakit yang dirawat dan individu yang melakukan kuarantin kendiri kini berjumlah 359,000, sementara jumlah sembuh pula seramai 21,185 orang menjadikan kes sembuh kepada hampir dua juta.

Semalam, negara itu melaporkan kematian tertinggi iaitu 1,040 kes dan 34,379 jangkitan baharu, sejak pandemik Covid-19 mula dikesan di Mac tahun lalu.

Jakarta menjadi wilayah yang menyumbang paling tinggi kes iaitu membabitkan 12,974 jangkitan baharu.

Susulan itu pentadbiran Jakarta mula melancarkan program suntikan vaksin secara bergerak menggunakan trak yang direka khas bagi menggalakkan lebih ramai penduduknya menyertai kempen vaksinasi.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata langkah itu adalah salah satu usaha kerajaan untuk memberi vaksin kepada hampir 8.8 juta penduduk bandar raya berkenaan sehingga Ogos depan.

Suntikan vaksin ini layak diberikan kepada mereka yang berusia 12 tahun ke atas.

“Hampir lima juta orang telah menerima suntikan dos pertama dan pihak kami akan terus meningkatkan jumlahnya melalui program vaksinasi bergerak ini,” katanya sambil menegaskan pemerintah Indonesia menyediakan 16 trak sedemikian untuk ditempatkan di beberapa lokasi di Jakarta. – Agensi

POPULAR