Indonesia rekod kematian paling tinggi akibat Covid-19 hari ini

Indonesia melaporkan kematian tertinggi harian akibat Covid-19 hari ini, tatkala pemerintah negara keempat di dunia paling padat penduduk itu belum membuat keputusan rasmi sama ada perintah darurat yang akan berakhir esok (20 Julai 2021) akan disambung atau tidak.

Sejumlah 1,338 pesakit dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan sejak pandemik Covid-19 melanda negara itu kepada 74,920.

Jumlah jangkitan baharu juga turun hari ini dengan 34,257 kes dicatatkan disebabkan penurunan jumlah saringan. Hanya 160,000 saringan Covid-19 dilakukan hari ini berbanding lebih 200,000 pada hari-hari sebelumnya.

Pada Ahad Indonesia merekodkan 44,721 kes baharu Covid-19 di seluruh 34 wilayahnya dengan Jakarta mencatatkan peningkatan kes tertinggi harian dengan 9,128 kes, diikuti Jawa Barat (7,777 kes) dan Jawa Timur (5,726 kes).

Jumlah keseluruhan kes positif di negara republik itu kini 2.91 juta.

Jumlah kematian terbaharu itu direkodkan tatkala Indonesia yang juga negara paling ramai umat Islam di dunia bersiap sedia untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia telah mengeluarkan larangan solat sunat Aidiladha secara berjemaah di bandar dan wilayah yang dikenakan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) atau ‘lockdown’, yang meliputi hampir keseluruhan Pulau Jawa dan Bali, serta 15 wilayah lain.

Sembelihan Korban pula tidak dibenar dibahagi-bahagikan di tempat lembu atau kambing disembelih, tetapi hendaklah diedarkan dari rumah ke rumah penerima, bagi menghalang orang ramai beratur panjang.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat beli-belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor non essential, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.

BERITA BERKAIT
POPULAR