Indonesia rekod jangkitan harian tertinggi sejak pandemik bermula

Indonesia hari ini merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi sejak wabak Covid-19 melanda negara itu apabila mencatat 64,718 kes dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Data Pasukan Petugas Covid-19 menunjukkan angka itu melonjak melebihi 57,049 yang dicatat semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 4,966,046 kes.

Wilayah Jawa Barat, Jakarta, Jawa Timur, Banten, dan Jawa Tengah menyumbang paling banyak kes pada hari Rabu, lapor pasukan petugas itu.

Jumlah kes harian di Jawa Barat adalah sebanyak 15,196, manakala Jakarta, Jawa Timur, Banten, dan Jawa Tengah masing-masing 12,388, 7,919, 6,798 dan 4,991 kes.

Di tengah-tengah lonjakan luar biasa kes harian, Indonesia mencatatkan 25,386 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang telah pulih daripada Covid-19 sejak Mac 2020 sebanyak 4,375,234.

Pasukan petugas itu juga melaporkan 167 kematian baharu pada Rabu, menjadikan jumlah kematian kepada 145,622 kes.

Bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini, Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) meminta semua rakyat bertenang dan kekal berdisiplin dalam melaksanakan protokol kesihatan yang ditetapkan kerajaan.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk mengurangkan aktiviti yang tidak perlu memandangkan penularan pantas kes Omicron. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR