Indonesia rekod 44,721 kes baharu, 1,093 kematian

Indonesia merekodkan 1,093 kematian pada Ahad (18 Julai 2021), antara yang tertinggi pernah dicatatkan minggu ini.

Indonesia pada Ahad merekodkan 44,721 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti wabak itu sejak Mac tahun lalu kepada 2,877,476 kes, kata Pasukan Petugas Tindakbalas Covid-19.

Daripada 34 wilayah di Indonesia, Jakarta mencatatkan peningkatan kes tertinggi harian dengan 9,128 kes, diikuti Jawa Barat (7,777 kes) dan Jawa Timur (5,726 kes).

Sementara itu dalam tempoh sehari sahaja seramai 29,264 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 2,261,658 dengan Jakarta melaporkan ke sembuh tertinggi iaitu 11,857 pesakit.

Melalui data yang dikeluarkan pasukan itu, Indonesia turut melaporkan 1,093 kes kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 73,582.

Jumlah kematian tertinggi dilaporkan di Jawa Timur sebanyak 328 pesakit.

Pasukan itu juga merekodkan 14,364 kes aktif atau pesakit yang menerima rawatan dan melakukan kuarantin kendiri, menjadikan keseluruhan kes aktif sebanyak 542,236.

Jumlah yang disyaki dijangkiti juga meningkat kepada 253,785 kes. – Agensi

POPULAR