Indonesia rekod 40,427 kes baharu hari ini, tertinggi sejak Mac 2020

Indonesia hari ini melaporkan 40,427 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam, kes harian tertinggi setakat ini sejak pesakit pertama dikesan pada Mac tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia dalam kenyataan hari ini berkata 891 kematian lagi turut direkod dalam tempoh itu.

“Keseluruhan kes jangkitan kini mencecah 2,567,630 manakala kematian pula meningkat kepada 67,355,” kata kementerian itu.

Indonesia kini berdepan gelombang baharu Covid-19 yang membawa bencana kepada sistem kesihatan negara itu, terutama di beberapa hospital, khususnya di Jakarta.

Kapasiti hospital juga sudah hampir penuh dan jumlah pesakit yang meninggal dunia di rumah ketika menjalani kuarantin kendiri sebelum menerima rawatan juga semakin meningkat.

Tetapi keadaannya akan menjadi jauh lebih buruk, dengan pemerintah republik itu sendiri mengunjurkan dalam senario terburuk, jangkitan harian boleh mencecah lebih 40,000 hingga 70,000.

Pengkritik menyalahkan Presiden Joko Widodo dan pemerintahnya kerana keengganan mereka untuk melakukan penutupan skala besar yang ketat atau ‘total lockdown’, sebaliknya memilih sekatan zon berskala kecil bagi melindungi sektor ekonomi penduduknya.

Walaupun banyak kes dilaporkan sejak cuti Hari Raya Puasa pada Mei lalu – kebanyakannya disebabkan oleh pergerakan meluas ke seluruh kepulauan dan penularan varian Delta – republik itu hanya melaksanakan langkah-langkah darurat pada 3 Julai hingga 20 Julai, namun terhad kepada Pulau Jawa dan Bali.

Namun, Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM Darurat) kini diperluaskan lagi ke beberapa bandar utama dari Pulau Sumatera hingga ke Papua.

Jika kes masih berterusan meningkat, pemerintah Indonesia akan melanjutkan lagi tempoh PPKM Darurat berkenaan.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat belibelah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor bukan perlu, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restoren, kedai makan atau warung (dine in) dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan rekreasi ditutup. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR