Indonesia rekod 32,211 kes baharu

Jangkitan Covid-19 di Indonesia terus melonjak tinggi dengan merekodkan sebanyak 32,211 kes baharu dalam tempoh 24 jam semalam, berbanding 27,197 kes pada Khamis.

Menurut Pasukan Petugas Covid-19 Indonesia, jumlah jangkitan di Jakarta sahaja mencatat 13,379 kes positif – tertinggi setakat ini.

Jumlah kes harian terbaharu itu melonjakkan kumulatif positif kepada 4,446,694 kes sejak wabak Covid-19 melanda Indonesia pada Mac 2020 lalu.

Sehingga semalam, jumlah kes aktif atau pesakit yang menerima rawatan di Jakarta mencecah 55,427.

Pada peringkat nasional, jumlah kes aktif meningkat kepada 140,254, menurut data terkini pasukan petugas itu.

Pasukan itu juga memaklumkan 42 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 144,452 kes.

Sementara itu, seramai 7,190 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif kes pulih meningkat kepada 4,161,987 kes.

Pada masa sama, pasukan petugas itu memaklumkan seramai 22,008 individu disyaki dijangkiti Covid-19 berdasarkan 480,920 spesimen yang diuji dalam rangkaian makmal di seluruh Indonesia.

Menurut Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin, kemuncak kes Covid-19 yang disebabkan oleh varian Omicron boleh menjadi sehingga enam kali ganda lebih tinggi daripada yang dicatatkan ketika penularan wabak Delta.

“Penularan sangat tinggi dan Indonesia pasti akan mengalami perkara ini. Jika kemuncak kes sebelum ini mencecah 57 ribu, pada masa hadapan, kita perlu lebih berhati-hati,” katanya.

“Di beberapa negara lain, (kadar penularan Omicron) adalah tiga hingga enam kali ganda berbanding kemuncak kes disebabkan varian Delta,” katanya.

Katanya, jumlah kes di Amerika Syarikat mencecah 800,000 sehari semasa wabak Omicron berbanding 250,000 kes sehari ketika wabak Delta. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR