Indonesia rekod 28,598 kes baharu Covid-19, 1,270 kematian hari ini

Indonesia hari ini merekodkan 28,598 jangkitan baharu Covid-19, turun sedikit berbanding 30,788 kes yang dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan kes positif di negara itu meningkat kepada 3,833,541 kes.

Menurut data Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) hari ini, seramai 1,270 pesakit Covid-19 dilaporkan meninggal dunia, turun berbanding 1,432 kes semalam, menjadikan keseluruhannya 116,366 kematian.

Data itu juga menunjukkan dalam tempoh berkenaan 31,880 pesakit disahkan sembuh menjadikan keseluruhan kes sembuh daripada Covid-19 kepada 3,321,598 pesakit.

Indonesia, negara keempat di dunia paling padat penduduk, ketika ini diletakkan di bawah perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Tahap 3 dan 4, terutama di Pulau Jawa dan Bali, bagi mengekang penularan varian Delta Covid-19.

Jurucakap Pasukan Petugas Covid-19 KKRI, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata dalam tempoh seminggu lalu, lima wilayah mencatatkan peningkatan kes baharu berbanding penurunan kes pada peringkat nasional.

“Pada peringkat nasional, kes minggu ini menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus berbanding minggu lalu. Bagaimanapun, terdapat lebih daripada satu varian Covid-19 ditemukan di setiap wilayah,” katanya.

Katanya lima wilayah berkenaan Nusa Tenggara Timur; Sulawesi Tengah; Aceh; Gorontalo; dan Bangka Belitung, mencatatkan peningkatan kes baharu sebanyak 20 peratus.

Sementara penurunan mendadak kes baharu di Jakarta memberi kesan pada peringkat nasional, katanya.

Beliau juga memaklumkan kadar ujian saringan dan jumlah kes positif tidak boleh dipisahkan.

Pada peringkat nasional, ujian saringan adalah pada nisbah 3.53 bagi setiap 1,000 populasi seminggu dengan kadar positif mingguan meningkat 23.6 peratus, katanya.

“Walaupun kita melihat trend kadar positif terus menurun dari awal Julai lalu sebanyak 30.1 peratus, dan sekarang 22.5 peratus, jangkitan Covid-19 masih tinggi dan berlaku di seluruh wilayah,” katanya.

Bagaimanapun menurut Dr Siti Nadia wilayah Aceh, Lampung, Jawa Tengah, Sulawesi Tenggara, Sulawesi Barat dan Maluku belum mencapai sasaran ujian saringan yang ditetapkan.

Sementara itu beliau memaklumkan pemerintah Republik Indonesia terus meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat negara itu.

Sehingga kini kira-kira 27.79 juta penduduk telah menerima dua dos vaksin Covid-19, manakala 53.61 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR