Indonesia rapatkan semula saf solat, tiada penjarakan fizikal

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) Asrorun Niam Sholeh mengumumkan tiada lagi penjarakan fizikal ketika umat Islam mengerjakan solat di semua masjid dan surau di seluruh negara itu.

Langkah itu diambil setelah pemerintah Republik Indonesia melonggarkan beberapa peraturan dan protokol kesihatan Covid-19.

Kelonggaran itu juga dibuat setelah jumlah jangkitan Covid-19 di negara itu kembali menurun.

Kelmarin negara itu merekodkan sebanyak 26,336 jangkitan baharu, menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 5,826,589 kes, tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Sehubungan itu, Asrorun Naim berkata jemaah solat kini boleh merapatkan semula saf ketika solat.

Perintah menjarakkan shaf 1 meter yang merupakan rukshah untuk mencegah penularan virus telah dimansuhkan, katanya.

“Ketatkan saf ketika solat sambil menjaga kesihatan,” kata Asrorun Naim dalam satu kenyataan.

Menurutnya, syarat ini juga terpakai kepada aktiviti keagamaan di masjid dan pejabat yang dibenarkan.

Sehubungan itu, umat Islam diminta mengoptimumkan persiapan menyambut Ramadan dengan lebih banyak mengerjakan ibadah, dan tetap berdisiplin dalam menjaga kesihatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR