Indonesia pertimbang kurangkan sela masa suntikan dos penggalak

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan sela masa antara pemberian dos kedua dan suntikan penggalak bagi kesemua peringkat umur penerima yang layak.

Langkah itu jika diluluskan akan membolehkan lebih ramai rakyat Indonesia yang telah lengkap divaksinasi menerima dos penggalak masing-masing.

Pada awal program dos penggalak dilancarkan awal tahun ini, sela masa enam bulan minimum diperlukan antara suntikan dos kedua dan dos penggalak.

Minggu ini, dalam usaha memperluaskan program imunisasi dos penggalak, kerajaan Indonesia mengurangkan sela masa suntikan itu daripada enam bulan kepada tiga bulan bagi penerima berusia 60 tahun dan ke atas.

Dan kini, kementerian itu sedang mempertimbangkan sela masa yang sama bagi semua peringkat umur penerima dos penggalak.

“Tidak lama lagi kami akan membenarkan sela masa suntikan penggalak untuk semua peringkat umur antara tiga hingga enam bulan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Dante Saksono.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan tepat bila tempoh sela masa itu akan dipendekkan untuk semua peringkat umur.

Dante menekankan kepentingan suntikan penggalak dalam menangani wabak Covid-19 baharu, terutamanya varian Omicron. Memetik data KEmkes, risiko kematian akibat Covid-19 berkurangan sebanyak 97 peratus dengan suntikan penggalak.

Di samping itu, Dante berkata kerajaan juga mungkin mempertimbangkan untuk memberikan suntikan penggalak kedua (atau keempat keseluruhan) kepada orang ramai sekiranya pakar kesihatan mengesyorkan langkah itu pada masa hadapan.

Hampir 70 peratus atau kira-kira 141 juta individu daripada populasi sasaran telah menerima dos kedua mereka, di mana program untuk pemberian vaksin itu dijangka berakhir Jun depan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR