Indonesia perketat sekatan menjelang Krismas, tahun baharu

Indonesia mengeluarkan protokol terbaharu dengan melarang penduduknya yang tidak divaksin daripada melakukan perjalanan jarak jauh bermula 24 Disember ini sehingga 2 Januari depan.

Perintah itu dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian menerusi Perintah Menteri Dalam Negeri No. 66 Tahun 2021 mengenai Pencegahan dan Kawalan COVID-19 Ketika Krismas 2021 dan Tahun Baru 2022.

Melalui arahan berkenaan, penduduk yang belum divaksin atau tidak boleh divaksin atas sebab tertentu dilarang daripada melakukan perjalanan jauh.

“Hanya penduduk yang lengkap divaksin dua dos dibenarkan melakukan perjalanan jauh namun perlu melakukan ujian saringan rapid antigen dalam tempoh 24 jam sebelum memulakan perjalanan.

“Manakala, bagi perjalanan jauh yang menggunakan pengangkutan awam, ia akan dikawal di bawah agensi kawalan Covid-19 kebangsaan mengikut protokol terbaharu dikeluarkan kelmarin,” jelasnya.

Sekiranya seseorang individu itu disahkan positif Covid-19 ketika dalam perjalanan, mereka wajib menjalani kuarantin kendiri di tempat ditetapkan oleh kerajaan untuk mencegah penularan.

“Arahan terbaharu Menteri Dalam Negeri juga mengarahkan semua agensi kerajaan seperti polis, jabatan perlindungan masyarakat, jabatan bencana daerah dan bomba supaya bersiapsedia dengan sebarang keadaan.

“Mereka dikehendaki mengawal dan memantau semua aktiviti awam yang mungkin mengganggu ketenteraman, mencegah aktiviti perjumpaan besar di tempat awam, pusat hiburan, pelancongan dan rumah ibadat,” menurut arahan terbaharu itu.

Semalam, dalam tempoh 24 jam, republik itu melaporkan 228 kes baharu dan enam kematian akibat Covid-19, menjadikan angka kes di Indonesia terus meningkat hampir ke 4.3 juta dengan 143,929 korban sejak tahun lalu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR