
Pengembara yang pulang berhari raya ke Indonesia diwajibkan mengambil dos penggalak. - Gambar Reuters
Di tengah-tengah penurunan kes Covid-19 yang berterusan, pemerintah Republik Indonesia memulihkan semula polisi lawatan bebas visa untuk negara Asia Tenggara berikutan kelonggaran sekatan perjalanan antarabangsa.
Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto pada sidang media yang disiarkan secara langsung di YouTube semalam berkata dasar itu dipulihkan atas arahan Presiden Joko Widodo.
“Seperti yang diarahkan oleh presiden, untuk rantau ASEAN akan bebas visa sekali lagi, dan [warganegara] negara lain [perlu memohon] visa semasa ketibaan,” kata Airlangga.
Warganegara negara anggota ASEAN biasanya diberikan pengecualian visa.
Katanya, Indonesia menghentikan polisi itu serta pemberian visa semasa ketibaan (VOA) pada 2020 di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Kerajaan juga telah membuka semula laluan antarabangsa di beberapa lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta, Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Medan, Lapangan Terbang Antarabangsa Hasanuddin di Makassar, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru.
Butiran mengenai ketibaan antarabangsa serta sekatan perjalanan lain yang dilonggarkan akan dimasukkan dalam pekeliling akan datang yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Covid-19 Kebangsaan.
Semua pelancong yang memasuki Indonesia dikehendaki menunjukkan bukti vaksinasi mereka dan keputusan ujian PCR negatif yang diambil sekurang-kurangnya 48 jam sebelum ketibaan mereka.
Mereka hanya akan diminta mengambil ujian PCR lain jika suhu badan direkodkan tinggi semasa ketibaan. – Agensi