Indonesia pada tahap bencana, menghampiri ‘tsunami’ Covid-19

Lonjakan jangkitan Covid-19 di Indonesia berada pada tahap ‘bencana’ susulan penyebaran varian Delta yang mendominasi penularan hingga hampir melumpuhkan hospital – pandemik terburuk di Asia Tenggara, kata Pertubuhan Bulan Sabit Merah Indonesia (PBSMI), hari ini.

Sejak beberapa hari lalu negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu melaporkan rekod harian jangkitan Covid-19 lebih daripada 20,000 susulan gelombang kedua yang didorong oleh kemunculan varian paling pantas menular, serta pergerakan orang ramai ketika cuti sambutan Aidilfitri Mei lalu.

Ketika petugas barisan hadapannya menjangkakan ‘tsunami Covid-19’ dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi, Ketua Delegasi Antarabangsa Persatuan Bulan Sabit dan Palang Merah Indonesia, Jan Gelfand berkata setiap hari negara itu memperlihatkan varian Delta membawa pandemik ke arah ‘bencana’.

Hospital di beberapa wilayah yang dikategorikan sebagai zon merah dilaporkan sudah mencapai kapasiti penuh, khususnya di Jakarta, dengan penggunaan wad pengasingan Covid-19 pada tahap 93 peratus pada Ahad.

Susulan itu pemerintah Republik Indonesia dilaporkan merancang melaksanakan sekatan penuh atau ‘total lockdown’ dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Presiden Joko Widodo dilaporkan mengadakan perbincangan hari ini bagi melaksanakan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat, tetapi sehingga malam ini belum ada pengumuman dibuat mengenainya.

Media melaporkan perbincangan melaksanakan PPKM itu dibuat selepas pemerintah menerima tekanan pakar tempatan dan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang memberi amaran penularan pandemik di Indonesia akan semakin teruk.

“Hospital penuh kerana peningkatan kes disebabkan oleh kegagalan masyarakat mematuhi protokol kesihatan, ditambah lagi dengan varian Delta yang merebak dengan cepat,” kata jurucakap Kementerian Kesihatannya, Siti Nadia Tarmizi.

Setiausaha Agung PBSMI Sudirman Said berkata keadaan di Bogor, Jawa Barat semakin membimbangkan apabila kemampuan hospital untuk menempatkan pesakit sudah mencapai tahap ‘melimpah’, sedangkan pesakit dan keluarga mereka menempuh berjam-jam perjalanan untuk tiba di pusat rawatan.

Lonjakan kes Covid-19 itu juga memaksa pemerintah menangguhkan pembukaan semula Bali kepada pelancong antarabangsa.

Menteri Pelancongan dan Ekonomi Indonesia Sandiaga Uno berkata walaupun 71 peratus penduduk Bali telah menerima dos vaksin pertama mereka, kerajaan perlu menunggu kes turun lebih jauh sebelum pulau itu boleh membuka semula industri pelancongan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR