Indonesia mula ‘jual’ vaksin Covid-19 kepada rakyatnya hari ini

Pemerintah Indonesia menerusi anak syarikat berkaitan kerajaan memulakan program ‘vaksin berbayar’ dalam usaha negara itu memperluaskan program vaksinasi kepada 270 juga rakyatnya.

Program yang mendapat tentangan Gabungan Masyarakat Awam itu, dilaksanakan syarikat farmasi negara PT Kimia Farm sebagai sebahagian daripada program yang dikenali sebagai ‘Program Vaksinasi Gotong Royong’.

Pemangku Presiden PT Kimia Farm Agus Chandra memberi jaminan program berkenaan tidak akan menganggu rancangan vaksinasi pemerintah.

“Jenis vaksin digunakan kerajaan dan program gotong royong ini adalah berbeza. Kami beri jaminan ia tidak menganggu program vaksinasi yang dibayar kerajaan,” katanya.

Program Vaksinasi Gotong Royong itu menggunakan vaksin Sinopharm sementara program kerajaan menggunakan Sinovac dan AstraZeneca.

Harga yang ditetapkan adalah sama dengan yang ditawarkan pihak swasta dan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Republik Indonesia, katanya.

“Kami tidak menggunakan program ini untuk mendapat keuntungan. Ini adalah tanda sokongan kami terhadap program vaksinasi kerajaan,” katanya.

Di bawah skim vaksin swasta, pemerintah Indonesia menetapkan maksimum harga setiap dos sebanyak 321,660 rupiah dan caj pentadbiran sehingga 117,910 rupiah.

Ini bermakna individu terpaksa membayar sehingga sejuta rupiah bagi melengkapi dua dos vaksin.

Terdahulu, Gabungan Masyarakat Awam Indonesia mendesak pemerintah republik itu berhenti daripada ‘menjual’ vaksin kepada rakyat tatkala negara sedang berdepan peningkatan pandemik Covid-19.

Gabungan itu dalam kenyataan hari ini juga menegaskan pemerintah yang mengenakan caj atau ‘berniaga’ dengan rakyat sebagai tidak beretika dan gagal bertanggungjawab terhadap rakyat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR