
Indonesia hari ini meluluskan vaksin ke sepuluh untuk melawan Covid-19. Zifivax buatan China dengan tiga suntikan diluluskan setelah ujian klinikal fasa tiga menunjukkan keberkesanannya terhadap semua varian Covid-19.
Badan Pengawasan Makanan dan Ubat-ubatan (BPOM) Indonesia hari ini meluluskan Izin Penggunaan Darurat (EUA) bagi vaksin baharu Covid-19 keluar syarikat China, Zifivax.
Zifivax adalah vaksin yang dikembangkan oleh Anhui Zhifei Longcom Biopharmaceutical dari China, untuk suntikan kepada individu berusia 18 tahun ke atas.
“Keputusan kajian klinikal fasa 1, 2 dan 3 vaksin Zifivax menunjukkan keberkesanannya mencecah 81.71 peratus, tujuh hari setelah selesai vaksinasi,” kata Pengerusi BPOM, Penny Lukito pada sidang media hari ini.
Penerima akan diberikan tiga dos vaksin melalui suntikan intramuskular dalam tempoh sebulan selepas suntikan pertama, dengan 0.5ml vaksin bagi setiap suntikan.
Dalam berdepan varian Covid-19, Penny berkata, Zifivax memberi perlindungan sehingga 92.93 peratus bagi varian Alpha, varian Gamma (100 peratus), Delta (77.47 peratus), dan Kappa (90 peratus).
Kesan sampingan yang disebabkan oleh suntikan vaksin dianggap berada di bawah tahap biasa seperti sakit di tempat suntikan, sakit kepala, dan demam.
Vaksin itu boleh disimpan dalam suhu di bawah 2 hingga 4 darjah Celsius, di mana Penny berkata ia sesuai dengan negara tropika seperti Indonesia.
“Dengan persetujuan yang diberikan hari ini bermakna Indonesia kini meluluskan 10 jenis vaksin untuk kegunaan kecemasan melawan Covid-19,” katanya.
Sebelum ini, ujian fasa tiga terhadap vaksin Zifivax dilakukan membabitkan 28,500 penerima. Indonesia adalah salah satu pusat pelaksanaan ujian klinikal tahap 3 selain Uzbekistan, Pakistan, Equador dan China. – Agensi