Indonesia lulus kegunaan kecemasan vaksin Janssen, CanSino

Agensi kawalan Ubat-Ubatan dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia meluluskan penggunaan kecemasan (EUA) vaksin Covid-19, Janssen buatan Amerika Syarikat (AS), dan Convidecia (CanSino) keluaran syarikat China, untuk diberi kepada rakyatnya.

“Kami yakin dengan keberadaan dua jenis vaksin Covid-19 itu mampu meningkatkan kadar liputan pemberian vaksin bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin,” kata Ketua BPOM, Penny K Lukito dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, vaksin Janssen dan CanSino akan melindungi penerima berusia 18 tahun dan ke atas daripada dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19.

Kedua-dua, Janssen dan CanSino adalah dos tunggal 0.5 mL, katanya.

“Kedua-dua jenis vaksin itu perlu disimpan dalam suhu antara 2 dan 8 darjah Celsius. Vaksin Janssen juga boleh disimpan dalam di bawah paras -20 darjah Celsius,” katanya.

Vaksin Janssen dihasilkan Janssen Pharmaceutical Companies di beberapa kemudahannya termasuk di Grand River dan Catakent, Indiana, AS, serta di Aspen, Afrika Selatan.

PT Integrated Health Indonesia (IHI) mendaftarkan Janssen dengan BPOM bagi EUA yang mewajibkannya untuk bertanggungjawab terhadap keselamatan, keberkesanan, dan kualiti vaksin.

Sementara, vaksin CanSino dihasilkan CanSino Biological Inc dan Beijing Institute of Biotechnology didaftarkan PT Bio Farma dengan BPOM dengan syarat yang sama.

Sebagai sebahagian daripada syarat kelulusan untuk EUA, BPOM telah menjalankan penyelidikan dan kajian teliti mengenai keselamatan, kualiti dan tahap keberkesanan kedua-dua vaksin itu.

“BPOM sentiasa bekerjasama dengan pakar bagi memastikan vaksin itu berkesan, selamat dan berkualiti serta mematuhi standard.

“Kami melibatkan ahli farmakologi, imunologi, doktor, ahli farmasi, ahli epidemiologi, ahli virologi, dan ahli biomedik untuk menjalankan kajian sebelum memberi kelulusan,” kata Penny.

Berdasarkan kajian klinikal fasa 3 setelah 28 hari vaksinasi, keberkesanan vaksin Janssen adalah sebanyak 67.2 peratus dalam mencegah semua simptom Covid-19, dan 66.1 peratus berkesan menghalang simptom sederhana bagi individu berusia 18 tahun ke atas.

Manakala keberkesanan vaksin CanSino pula adalah sebanyak 65.3 peratus dalam mencegah semua simptom Covid-19 dan 90.1 peratus berkesan melindungi jangkitan teruk, katanya.

BPOM sebelum ini memberi EUA kepada tujuh jenis vaksin Covid-19 iaitu CoronaVac (Sinovac), COVID-19 Bio Farma, AstraZeneca, Sinopharm, Moderna, Comirnaty (Pfizer dan BioNTech), dan Sputnik-V. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR