Indonesia lanjut jangka hayat vaksin Covid-19 hampir tamat tempoh

Indonesia melanjutkan jangka hayat vaksin Covid-19, AstraZeneca, kepada sembilan bulan, setelah hampir enam juta dos yang diterima dalam bentuk sumbangan semakin mendekati tarikh tamat tempoh, seorang jurucakap Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes) memberitahu Reuters pada Selasa (1 Mac 2022).

Keputusan itu menggariskan cabaran yang dihadapi banyak negara membangun dalam kempen perlahan pemberian vaksin kepada rakyat mereka, kerana vaksin yang disumbangkan oleh negara kaya tiba dengan jangka hayat yang agak singkat – hanya dalam beberapa bulan atau bahkan minggu.

Indonesia, yang mencatat rekod jangkitan harian pada pertengahan Februari lalu disebabkan oleh penularan varian Omicron yang sangat mudah berjangkit, telah memberi vaksin sepenuhnya kira-kira 53 peratus daripada 270 juta penduduknya, berbanding lebih 70 peratus di negara yang lebih kaya.

Jurucakap Kemkes Dr Siti Nadia Tarmizi memberitahu Reuters bahawa negara itu mempunyai enam juta dos vaksin yang tamat tempoh pada akhir Februari, tetapi hanya 200,000 daripadanya telah tamat tempoh selepas ia memanjangkan jangka hayat suntikan AstraZeneca kepada sembilan bulan daripada enam bulan.

“Agensi makanan dan ubat-ubatan melanjutkan tarikh luput … berdasarkan data baharu yang tersedia mengenai keberkesanannya,” katanya.

Vaksin tamat tempoh itu adalah jenama Sinovac dan Moderna menjadikan jumlahnya 1.1 juta dos yang telah tamat tempoh yang dikatakan oleh Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin pada Januari, telah dibuang oleh negara itu.

Jangka hayat vaksin AstraZeneca yang agak singkat merumitkan negara termiskin di dunia, menurut pegawai dan dokumen dalaman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang disemak Reuters bulan lalu.

Jangka hayatnya hanya enam bulan daripada tarikh pembotolan adalah yang paling singkat dalam kalangan pembekal utama kepada skim perkongsian vaksin global COVAX, kata beberapa pegawai COVAX dan Kesatuan Eropah (EU).

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Indonesia yang memantau kesihatan rakyat negara itu menggesa kerajaan mempercepatkan lagi proses vaksinasi.

“Walaupun vaksin itu percuma, tetapi menerima dan mengagihkannya menggunakan bajet negara. Jika ia buruk dan membazir, maka ia akan membazir bajet negara,” katanya. – Reuters

BERITA BERKAIT
POPULAR