Indonesia lanjut Darurat Tahap 4, longgarkan peraturan

Indonesia melanjutkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) di Pulau Jawa dan Bali sehingga 16 Ogos, manakala di wilayah lain sehingga 23 Ogos, dengan melakukan pengubahsuaian terhadap peraturan-peraturan Tahap 4 dan 3, berdasarkan situasi jangkitan Covid-19 setempat.

Ini termasuk melonggarkan kawalan pergerakan di 26 daerah di bandar raya Jakarta yang diletakkan di bawah PPKM Tahap 4, selepas data rasmi menunjukkan penurunan kes di ibu kota negara itu.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dn Pelaburan, Luhut Binsar Panjaitan berkata penilaian dan penambahbaikan turut dibuat terhadap sekatan pergerakan awam Tahap 4 di Pulau Jawa dan Bali.

“Data menunjukkan penurunan kadar kes positif hingga 59.6 peratus berbanding ketika kemuncak kes pada 15 Julai 2021,” katanya.

Terdapat juga kecenderungan penurunan kes harian dan tahap penempatan katil hospital di sejumlah wilayah, kecuali Malang Raya dan Bali, dan kerajaan akan mengambil tindakan di kedua-dua kawasan itu bagi mengurangkan jangkitan harian, katanya.

Kadar kematian di Jawa dan Bali juga menunjukkan penurunan walaupun di sesetengah wilayah jumlahnya naik turun. Jawa Barat merekodkan jumlah tertinggi kematian sehingga kini sebanyak 23,292 kes, diikuti Jawa Tengah (23,007 kes), dan Jakarta (12,812 kes).

Sementara itu Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata penyelarasan semula peraturan PPKM Tahap 3 dan 4 berkuat kuasa di luar wilayah Pulau Jawa dan Bali mulai hari ini hingga 26 Ogos 2021.

“Kerajaan membuka semula aktiviti secara terhad dan sedikit demi sedikit,” katanya.

PPKM Tahap 4 berkuat kuasa di 45 daerah dan bandar, manakala Tahap 3 dilaksanakan di 302 wilayah. Penentuan tahap itu berdasarkan beberapa petunjuk, seperti jumlah kes, angka kematian, jumlah ujian, dan populasi.

Antara aktiviri dibenarkan di wilayah di bawah PPKM Tahap 3 termasuk pembukaan semula sekolah dengan kapasiti 50 peratus daripada keseluruhan pelajar, dan kawalan ketat protokol kesihatan.

Sektor eksport dan industri sokongan juga dibenar beroperasi 100 peratus di bawah protokol kesihatan yang ketat. Namun, jika kluster baharu dikesan, maka sektor berkenaan akan ditutup selama lima hari.

Antara lain, orang ramai dibenar untuk makan di restoran tetapi hanya membabitkan 50 peratus daripada kapasiti tempat duduk serta mematuhi protokol kesihatan.

Pusat-beli belah juga dibenar dibuka mulai jam 10 pagi, dengan maksimum 50 peratus daripada kapasiti pengunjung. Orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di dalam premis berkenaan.

Sementara itu, rumah ibadat, termasuk surau dan masjid dibenar dibuka dengan jumlah jemaah sebanyak 50 peratus daripada keluasannya atau 50 jemaah dengan dikenakan protokol kesihatan yang ketat. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR