Indonesia lanjut darurat Tahap 4 Covid-19 hingga 2 Ogos

July 26, 2021 · Dunia

Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi, melanjutkan perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Tahap 4 (PPKM Tahap 4) mulai esok hingga 2 Ogos, walaupun katanya, kadar jangkitan dan jumlah pesakit dimasukkan ke hospital di beberapa daerah di Pulau Jawa telah menurun.

Di bawah PPKM Tahap 4 itu beliau berkata pemerintah akan melakukan beberapa pengubahsuaian terhadap sekatan yang dikenakan ke atas beberapa aktiviti, termasuk membenarkan pasar tradisional dan restoran terbuka, dibuka kepada orang ramai dengan had tertentu.

Serentak itu, pemerintah Indonesia juga memulakan gerakan besar-besaran bagi mengesan pesakit Covid-19 dan kontak rapat di lapangan membabitkan ribuan pelajar kesihatan, tentera dan polis.

Darurat Tahap 4 mula berkuat kuasa 3 Julai lalu dan berakhir 20 Julai, namun didorong oleh penularan varian Delta yang meluas di wilayahnya, Presiden Indonesia menyambung hingga 25 Julai.

Melalui penguatkuasaan Tahap 4 itu penduduk yang mempunyai sijil pendaftaran pekerjaan atau STRPs dan bekerja di sektor penting boleh berulang alik ke Jakarta. Beberapa perniagaan, dari salun rambut, kedai dobi hingga bengkel membaiki kenderaan, kini dibenarkan untuk beroperasi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Republik Indonesia melaporkan 45,416 kes baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan kumulatif sebanyak 3,127,826 kes, dengan 2,471,678 disahkan sembuh.

Negara itu juga melaporkan 1,415 pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian kepada 82,013.

Susulan langkah melanjutkan Darurat Tahap 4 itu, pemerintah Indonesia meningkatkan usaha pengesanan pesakit, kontak rapat dan memperkemaskan kemudahan kuarantin bagi menangani varian Delta yang merebak dengan meluas di negara itu.

Mulai hari ini pemerintah memperkenalkan sistem pengesanan digital, sementara kakitangan lapangan digerakkan bagi membantu klinik komuniti dan pusat kesihatan di seluruh bandar dan wilayah di negara itu.

Kira-kira 7,000 lulusan sekolah vokasional kesihatan telah dilatih untuk menjadi pengesan kontak rapat Covid-19 berdasarkan modul yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kumpulan itu akan dibantu oleh ribuan anggota tentera dan polis.

Mereka akan menjadi tulang belakang operasi besar-besaran itu di mana kontak rapat individu yang positif Covid-19 akan menjalani kuarantin secara berpusat atau kuarantin kendiri di rumah dengan pemantauan lebih baik daripada komuniti, kata menteri kanan Luhut Pandjaitan.

“Kami akan melakukan ini untuk mengekang penularan varian Delta. Kami akan mengurangkan penyebaran dengan ketara,” kata Luhut.

Luhut ditugaskan oleh Jokowi untuk menyelaras usaha mencegah penyebaran wabak itu di Jawa dan Bali, serta 15 wilayah termasuk Sumatera dan Kalimantan. Jawa dan Bali menyumbang lebih 60 peratus daripada jumlah kes Covid-19 di negara ke empat paling ramai penduduk di dunia, yang setakat ini melaporkan lebih 3.16 juta jangkitan dan lebih 83,000 kematian.

Purata kematian akibat Covid-19 bagi tempoh seminggu lalu melebihi tujuh kali ganda berbanding jumlah pada minggu kedua bulan lalu ketika pemerintah buat pertama kali mengumumkan varian Delta – yang pertama kali ditemukan di India – telah dikesan di Indonesia. Negara itu baru-baru ini menjadi titik panas Covid-19 dunia melepasi India dan Brazil.

Di bawah perintah Darurat Tahap 4 itu semua pekerja sektor tidak penting akan bekerja dari rumah, sementara 50 peratus mereka yang bekerja di sektor penting seperti bank, pasaran saham dan hotel, diletakkan secara shif.

Luhut berkata pemerintah juga sedang mempertimbangkan sama ada akan memasang bendera putih di rumah sebagai tanda menunjukkan penghuninya sedang menjalani kuarantin kendiri bagi memudahkan komuniti melakukan pemantauan.

Kemudahan semua pusat kuarantin mesti diuruskan oleh dua hingga tiga doktor dan sepasukan jururawat. Setiap pusat kuarantin boleh menampung antara 70 hingga 410 pesakit.

WHO sebelum ini menggesa Indonesia menerapkan langkah-langkah kesihatan kepada masyarakat dan sosial dengan lebih ketat terutamanya bagi larangan pergerakan di seluruh negara ini.

Pakar epidemiologi Universiti Indonesia, Pandu Riono pula berkata sekatan pergerakan orang ramai tidak boleh dilonggarkan kerana sejak dikuatkuasakan pada 3 Julai lalu belum ada kesan positif yang dihasilkan.

Penurunan jumlah kes harian adalah disebabkan kurangnya ujian saringan yang dilakukan, sedangkan jumlah kegunaan katil hospital masih tinggi. – Agensi

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok