Indonesia lancar vaksinasi Covid-19 kanak-kanak enam hingga 11 tahun

Program vaksinasi besar-besaran Covid-19 kepada 26.8 juta kanak-kanak di Indonesia berumur enam hingga 11 tahun bermula hari ini, kata Kementerian Kesihatan Republik Indinesia (KKRI).

“Kami berharap vaksinasi akan mula diberikan hari ini, Selasa di beberapa kawasan yang sudah ditetapkan.

“Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun depan,” kata Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit KKRI, Maxi Rein Rondonuwu.

Program itu akan dilaksanakan di wilayah dan daerah atau bandar di mana liputan suntikan dos pertama sudah melepasi 70 peratus dan liputan vaksinasi dalam kalangan golongan tua mencecah hampir 60 peratus.

Ketika ini, terdapat 106 daerah di 11 wilayah yang sudah memenuhi kriteria tersebut seperti di Banten, Yogyakarta, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan Timur, Kepulauan Riau, Nusa Tenggara Barat, Sulawesi Utara, dan Bali.

“Sehingga kini, terdapat lebih 8.8 juta kanak-kanak dari 106 daerah akan divaksin,” jelasnya.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut menyediakan 6.4 juta dos vaksin Sinovac dari kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) kepada golongan kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun.

Maxi yakin bekalan vaksin sangat mencukupi untuk melaksanakan program itu sehingga akhir bulan ini.

“Bermula Januari 2022, akan ada tambahan bekalan vaksin yang diterima daripada ketua pengarah farmasi dan peralatan perubatan, untuk mengekalkan program itu terus dilaksanakan,” jelasnya.

Jurucakap vaksin Covid-19 Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi memaklumkan golongan kanak-kanak akan diberikan 0.5 mililiter (ml) vaksin Covid-19.

Vaksin akan disuntik dua kali, dengan sela masa sekurang-kurangnya 28 hari,” jelasnya.

Sebelum disuntik vaksin, pegawai bertugas akan melaksanakan saringan kesihatan terlebih dahulu. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR