Indonesia kurangkan semula tempoh kuarantin wajib pengembara asing

Indonesia mengurangkan semula tempoh kuarantin wajib bagi pengembara asing yang memasuki negara itu berkuat kuasa serta-merta, sekali gus memberi kejutan tahun baharu 2022 kepada pelancong asing, tatkala varian Omicron Covid-19 semakin hampir menjadi dominan di seluruh dunia.

Awal November tahun lalu, negara itu mewajibkan pengembara asing menjalani kuarantin tiga hari berbanding lima sebelumnya, tetapi tempoh itu dinaikkan pula kepada antara tujuh dan 10 hari pada 2 Disember lalu.

Pertengahan Disember lalu, peraturan itu diubah semula menjadi 14 hari kuarantin bagi pengembara dari negara-negara yang melaporkan kes Omicron yang tinggi dan 10 hari bagi negara lain.

Pengurangan tempoh kuarantin itu juga dilihat sebagai usaha untuk memulihkan semula sektor pelancongan di negara itu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang menular sejak awal 2020 lalu.

Semalam, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan yang bertanggungjawab menguruskan pandemik Covid-19 di Indonesia berkata Indonesia mengurangkan semula tempoh kuarantin wajib kepada 10 hari bagi negara berisiko tinggi, dan tujuh hari bagi pelancong negara lain.

Tempoh inkubasi Omicron yang singkat terhadap pesakit antara sebab utama tempoh kuarantin dikurangkan, kata Luhut sambil menjelaskan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Republik Indonesia semalam.

“Bagi kami, kuncinya ialah disiplin dalam mematuhi protokol kesihatan. Itulah sebabnya kita tidak perlu terlalu paranoid, dan fokus pada langkah berjaga-jaga kesihatan di ruang awam,” katanya.

Di bawah peraturan semasa, pelancong yang datang dari 13 negara perlu dikuarantin selama 10 hari maksimum di Indonesia.

Negara berkenaan ialah Afrika Selatan; Botswana; Namibia; Zimnanwe; Lesotho; Mozambique; Eswatini; Malawi; Angola; Zambia; United Kingdom; Norway; dan Demark.

Sehingga Isnin, Indonesia merekodkan 152 kes Omicron, yang majoritinya adalah kes import. Tiada pesakit Omicron yang diketahui menunjukkan sebarang gejala yang teruk. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR