Indonesia kesan kes pertama varian Omicron

Pihak berkuasa Indonesia hari ini mengesahkan mengesan kes pertama Covid-19 varian Omicron di negara itu oleh seorang petugas pembersihan di Hospital Wisma Atlet yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gubadi Sadikin berkata tiada penularan dalam kalangan komuniti yang dikesan sehingga kini, tetapi terdapat lagi lima kes jangkitan yang disyaki melibatkan jangkitan Omicron.

“Dua daripada lima kes itu melibatkan warga Indonesia yang baru tiba dari Amerika Syarikat (AS) dan Britain, sementara tiga kes lagi membabitkan pengembara China yang kini sedang di kuarantin di Manado, Sulawesi Utara.

“Pihak berkuasa kesihatan republik Indonesia sedang menunggu keputusan ujian genom untuk memastikan jenis varian bagi kelima-lima kes jangkitan tersebut,” jelasnya.

Sebelum ini, varian Omicron pertama kali dikesan di Afrika Selatan dan Hong Kong pada bulan lalu sebelum mereka ke banyak negara dunia lain termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Sementara itu, beberapa kajian awal turut mendapati vaksin Covid-19 sedia ada mungkin kurang berkesan untuk mencegah jangkitan dan penularan varian baharu itu, tetapi masih mampu mengurangkan kadar kematian.

Budi turut menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan sentiasa mematuhi peraturan protokol kesihatan yang ditetapkan.

Sehingga semalam, republik itu merekodkan 205 kes baharu menjadikan angka kumulatif kes jangkitan mencecah hampir 4.3 juta. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR