Indonesia kesan 250 kontrak rapat tiga kes varian Omicron

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) mengesahkan mengesan 250 kontak rapat kepada tiga individu yang dijangkiti varian baharu Covid-19, Omicron.

Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata daripada jumlah itu 10 didapati positif Covid-19 dan telah diasingkan.

Menurutnya KKRI kini menjalankan ujian jujukan genom penuh bagi mengetahui sama ada 10 kes berkenaan dijangkiti varian Omicron.

Dr Siti Nadia berkata, pengesanan dilakukan dengan mengambil sampel daripada beberapa penumpang di dalam pesawat kerana tiga kes Omicron adalah kes import.

Kes pertama varian Omicron ialah seorang kakitangan di Wisma Atlet, Kemayoran, Jakarta.

Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa dia dijangkiti daripada warga Indonesia yang pulang dari Nigeria pada 27 November dan telah dikuarantin di Wisma Atlet.

Dua lagi kes import. Pesakit telah melancong ke Amerika Selatan dan England. Kedua-duanya kini sedang menjalani kuarantin di Wisma Atlet.

Sementara itu, Timbalan Gabenor Jakarta Ahmad Riza Patria mengumumkan larangan rasmi terhadap penggunaan bunga api dan mercun semasa perayaan Krismas dan malam Tahun Baharu.

Menurutnya, sambutan yang melibatkan bunga api hampir pasti menimbulkan keramaian, yang merupakan sesuatu yang sentiasa dihalang dalam usaha mengurangkan penularan Covid-19, lapor Antaranews.

“Kami dengan hormat meminta mercun tidak digunakan juga kerana ia berpotensi menyebabkan orang ramai berhimpun,” katanya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR