
Sebanyak 20 kes positif sub varian Omicron BA.4 dan BA.5 dikesan di Indonesia sehingga 15 Jun 2022. - Gambar Shutterstock
Indonesia mengesahkan mengesan 12 kes baharu sub varian Omicron – BA.5 – di Jawa Barat, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Republik Indonesia, Mohammad Syahril.
“Sehingga hari ini, terdapat 20 kes sub varian Omicron di Indonesia terdiri daripada dua kes BA.4 dan 18 kes BA.5,” katanya hari ini (15 Jun 2022).
“Daripada 18 kes BA.5, 12 kes dikenal pasti di Jawa Barat, tiga kes di Jakarta, dan tiga kes di Bali, katanya.
Sementara itu, kes sub varian Omicron BA.4 dilaporkan di Jakarta dan Bali.
Pada sidang media hari ini, jurucakap Pasukan Petugas Pengendalian Covid-19, Wiku Adisasmito, menegaskan masyarakat perlu berwaspada terhadap ancaman daripada dua sub varian Omicron yang telah memasuki Indonesia sejak 6 Jun lalu.
“Secara epidemiologi, varian BA.4 (Omicron) telah dikenal pasti di 61 negara daripada 7,524 jujukan yang telah dilaporkan melalui Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID),” katanya.
Negara yang paling banyak dikenal pasti BA.4 ialah Afrika Selatan, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Denmark dan Israel.
Sementara itu, sub varian BA.5 telah dikesan di 65 negara menerusi 10,442 jujukan yang dilaporkan melalui GSAID.
Negara paling banyak dikenal pasti BA.5 ialah AS, Portugal, Jerman, United Kingdom dan Afrika Selatan, katanya.
Sub varian menjangkiti dengan lebih cepat, tetapi tidak ada tanda setakat ini bahawa ia menyebabkan kes teruk berbanding dengan sub varian lain Omicron, kata Adisasmito.
Kes pertama Covid-19 di Indonesia disahkan pada Mac 2020. Menurut data Pasukan Petugas Penanganan Covid-19, setakat 14 Jun, negara telah merekodkan 6,062,009 kes positif; 5,900,049 sembuh, dan 156,662 kematian. – Agensi