Indonesia kesan 2 lagi kes Omicron

Dua pengembara yang dikuarantin Hospital Kecemasan Covid-19 di Wisma Atlet (RSDC), Kemayoran, Jakarta, disahkan dijangkiti varian Omicron, kata Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI), hari ini.

“Dua kes varian Omicron baharu itu dikesan daripada pengembara yang datang dari London, England,” kata Pengarah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmizi dalam kenyataan hari ini.

Penemuan baharu itu meningkatkan bilangan kes Omicron yang disahkan di Indonesia setakat ini mencecah lima pesakit, katanya.

Dr Siti Nadia berkata hasil ujian jujukan genom penuh (WGS) bagi mengetahui sama ada pesakit dijangkiti varian Omicron telah diterima oleh KKRI pada Isnin.

“Pesakit itu adalah dua daripada 11 individu yang disyaki dijangkiti varian Omicron berdasarkan keputusan ujian S-Gene Target Failure (SGTF). Keputusannya keluar pada Ahad,” katanya.

Beliau berkata semua pesakit yang dijangkiti varian Omicron telah diasingkan bagi mengelak penularan varian berkenaan.

Kerajaan juta terus memperketatkan kawalan di pintu masuk negara, terutamanya di sempadan laut dan darat, katanya.

“Kadar positif Covid-19 di pintu masuk perjalanan laut dan darat adalah sepuluh kali ganda lebih tinggi daripada di pintu masuk perjalanan udara,” katanya.

Justeru, Tarmizi menggesa orang ramai mengurangkan mobiliti dan kekal berdisiplin dalam melaksanakan protokol kesihatan.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran dan menahan keinginan untuk mengembara. Oleh itu, adalah lebih baik untuk tidak melakukan perjalanan pada malam Krismas 2021 dan Tahun Baru 2022,” tegasnya.

Terdahulu, KKRI telah mengesan tiga kes varian Omicron dengan yang pertama adalah kakitangan di Wisma Atlet, sementara dua lagi kes yang diumumkan pada 18 Disember 2021, adalah dua kes pengembara dari Amerika Selatan dan England.

BERITA BERKAIT
POPULAR