Indonesia kekal catat lebih 40,000 kes baharu Covid-19

Indonesia kekal merekodkan jumlah jangkitan Covid-19 yang tinggi semalam, apabila mencatat 40,489 kes positif, lapor Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemkes).

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif di negara itu kini melebihi 4.7 juta kes, tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Daripada jumlah itu, Jakarta mencatat jumlah jangkitan tertinggi sebanyak 10,707 kes, diikuti Jawa Barat (8,945 kes); dan Banten (5,218 kes); Jawa Timur (4,506 kes) dan Jawa Tengah (2,651 kes), kata Kemkes dalam kenyataannya.

Kemkes juga memaklumkan 100 kematian akibat komplikasi Covid19 pada Jumaat, dengan 39 kes dilaporkan di Jakarta, 13 di Bali, 12 di Jawa Tengah, 10 di Jawa Timur, dan lapan di Jawa Barat.

Sementara itu, jumlah pesakit yang pulih daripada Covid19 pada Jumaat berjumlah 15,767 individu, dengan Jakarta mencatatkan 7,400 kes; Jawa Timur (2,869); Banten (1,917); Jawa Barat (1,590); dan Jawa Tengah (695).

Pada skala nasional, jumlah kes aktif atau pesakit yang menerima rawatan meningkat sebanyak 24,622 kepada 312,808 pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 363,565 spesimen telah diuji di makmal di seluruh negara pada Jumaat, dengan kadar positif 22.13 peratus.

Peningkatan kes Covid-19 baru-baru ini telah dikaitkan dengan kemunculan dan penularan pantas varian Omicron.

Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin berkata kemuncak kes Covid-19 yang disebabkan oleh varian Omicron boleh menjadi sehingga enam kali lebih tinggi daripada ketika kemuncak varian Delta.

“Penularan sangat tinggi dan Indonesia pasti akan mengalami perkara ini. Jika kes tertinggi sebelum ini mencecah 57 ribu, pada masa hadapan, kita perlu lebih berhati-hati.

“Di beberapa negara lain, (kadar puncak Omicron) adalah tiga hingga enam kali ganda berbanding kemuncak kes disebabkan varian Delta,” katanya.

Menurutnya jumlah kes di Amerika Syarikat mencecah 800 ribu sehari ketika wabak Omicron berbanding 250 ribu kes sehari semasa wabak Delta.

Di Perancis, jumlah kes mencecah 360 ribu sehari semasa lonjakan Omicron, iaitu lebih daripada 60 ribu kes sehari yang direkodkan ketika gelombang Delta, tambahnya. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR