Indonesia ‘jual’ dos penggalak

Kerajaan Indonesia akan mula melaksanakan program vaksinasi dos penggalak secara berbayar mulai 12 Januari ini, namun masih tidak menetapkan tarif harga untuk suntikan berkenaan.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh jurucakap vaksinasi Covid-19 di Kementerian Kesihatan Indonesia, Dr Siti Nadia Tarmizi.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai harga bagi suntikan dos penggalak yang bakal dikenakan oleh kerajaan terhadap penduduk di republik itu.

Namun, khabar angin itu disangkal oleh kementerian tersebut dan menjelaskan harga itu bukan di Indonesia, sebaliknya di luar negara.

“Kerajaan masih belum menetapkan tarif tetap harga dos penggalak dan pihak kami akan mengumumkannya secepat mungkin.

“Harga yang tular di media sosial itu bukanlah harga di Indonesia, sebaliknya di luar negara,” jelasnya.

Tambahnya, ketetapan harga perlu melibatkan pelbagai pihak dan sehingga kini, pihak kementerian masih belum mengadakan perbincangan dengan organisasi berkaitan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin memaklumkan terdapat lebih 21 juta orang populasinya sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

Sehingga semalam, Indonesia merekodkan 299 kes baharu dan tiga kematian akibat Covid-19, menjadikan angka keseluruhan kes di republik itu mencecah hampir 4.3 juta dan 144,000 korban sejak awal tahun 2020.

Manakala, hari ini republik itu turut melaporkan pertambahan 92 kes dari varian Omicron menjadikan angka kumulatif dari varian baharu itu sebanyak 254 kes, dengan 239 daripadanya melibatkan kes import dan 15 kes lain adalah penularan tempatan. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR