Indonesia guna ‘telemedicine’ pantau pesakit Covid-19 kuarantin di rumah

Kerajaan Indonesia melaksanakan sistem telemedicine bagi memberi perkhidmatan klinikal dalam talian kepada pesakit yang menjalani isolasi atau dikuarantin di rumah susulan peningkatan penularan Covid-19 di Jakarta.

Menteri Kesihatan Indonesia Budi Gunadi Sadikin berkata telemedicine itu adalah antara usaha yang diambil bagi membantu hospital yang kini berdepan tekanan tinggi susulan peningkatan kes Covid-19.

“Salah satu usaha itu adalah pelaksanaan telemedicine atau perkhidmatan klinikal dalam talian di kawasan yang menunjukkan jumlah kes Covid-19 tinggi seperti di Jakarta. Perkhidmatan ini akan disediakan untuk pesakit yang menjalani pengasingan di rumah.

“Jika pesakit tidak mengalami sesak nafas, tahap ketepuan oksigen masih di atas 95 peratus dan penyakit sampingan lain, sebaiknya mereka menjalani rawatan di rumah atau di pusat pengasingan seperti di Wisma Atlet,” katanya.

Katanya doktor akan memantau status pesakit menerusi telemedicine sehingga mereka diarah sama ada untuk ke hospital atau tidak.

Pesakit yang menjalani isolasi kendiri boleh mendapatkan perkhidmatan dalam talian dengan doktor untuk pemeriksaan awal mengenai gejala sederhana atau kritikal. Melalui perkhidmatan ini, pesakit boleh mendapatkan ubat-ubatan dalam tempoh kuarantin di rumah.

Kementerian Kesihatan Indonesia akan memperbaiki sistem ini agar pembiayaan perkhidmatan dan ubat-ubatan untuk pesakit Covid-19 yang menjalani isolasi kendiri dapat dibiayai oleh kementerian ini. – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR