Indonesia diberi tekanan Amerika selepas jemput Putin ke sidang G20

Indonesia menghadapi tekanan Amerika Syarikat ekoran langkahnya menjemput Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy ke Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia G20 pada November nanti, kata Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Jakarta selaku tuan rumah G20 tahun ini berdepan tekanan dari Barat khususnya Amerika supaya mengecualikan Rusia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine, bagaimanapun mempertahankan pendirian untuk kekal “tidak berat sebelah”.

“Saya telah menjemput Presiden Zelenskyy untuk menghadiri sidang kemuncak G20,” kata Jokowi.

Jokowi juga berhujah sudah berkompromi susulan tekanan daripada Presiden Joe Biden dengan turut membuat jemputan kepada kepada Ukraine untuk mencapai keseimbangan.

Putin mengesahkan dalam panggilan telefon dengan Jokowi akan hadir ke sidang kemuncak itu yang dijadual berlangsung di Bali, kata pemimpin Indonesia itu dalam ucapan siaran langsung.

Rusia merupakan salah sebuah negara ahli dalam G20, manakala Ukraine tidak.

Pentadbiran Biden menyatakan pendiriannya berhubung jemputan Putin dibuat Indonesia yang dianggap tidak wajar.

“Presiden sudah menyatakan secara terbuka tentangan beliau terhadap Presiden Putin menghadiri G20. Kami mengalu-alukan kehadiran Ukraine,” kata setiausaha akhbar Biden Jen Psaki di Washington.

“Kami telah menyampaikan pandangan kami, Rusia tidak seharusnya menjadi sebahagian daripadanya secara terbuka dan peribadi,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, jurucakap Biden juga menambah Washington memahami jemputan itu dikeluarkan “sebelum pencerobohan”.

Psaki juga tidak mengulas sama ada Amerika akan menghadiri sidang kemuncak tersebut.

BERITA BERKAIT
POPULAR