Indonesia dakwa Sinovac berkesan lawan virus Covid-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan Sinovac. - Gambar Reuters

Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (KKRI) mendakwa keberkesanan vaksin Sinovac dalam melawan jangkitan virus mencapai tahap 94 peratus pada suntikan dos kedua, selepas 28 hari menerima suntikan.

Vaksin dari China ini juga dapat mencegah kematian yang disebabkan oleh Covid-19 sebanyak 100 peratus selepas menerima dos kedua, kata Badan Penyelidikan dan Pembangunan KKRI yang menerbitkan kajian keberkesanan vaksin Sinovac dalam kalangan pekerja kesihatan pada 13 Januari hingga 18 Mac 2021 lalu.

Menurut kementerian itu Sinovac juga terbukti dapat mencegah jangkitan sehingga 13 peratus pada hari ke-14 selepas mendapat suntikan pertama.

Suntikan dos pertama dapat mencegah rawatan serius Covid-19 sehingga 53 peratus pada hari ketujuh selepas suntikan.

Kajian keberkesanan vaksin ini melibatkan 25,374 orang pekerja kesihatan di seluruh Jakarta yang berusia lebih 18 tahun dan diuji negatif untuk Covid-19.

Sementara itu, Ikatan Perubatan Indonesia (IDI) mengatakan jumlah doktor yang meninggal ketika merawat pesakit Covid-19 meningkat dengan ketara pada Mei hingga Jun 2021.

Berdasarkan data IDI, tujuh doktor meninggal pada Mei dan meningkat kepada 26 orang pada Jun.

Oleh itu, IDI menggalakkan suntikan dos ketiga vaksin Sinovac untuk pekerja kesihatan.

“Kita perlu melihat sekiranya ada penerbitan rasional daripada ujian klinikal mengenai isu ini,” kata jurucakap KKRI, Siti Nadia Tarmizi.

Tambah beliau, satu pasukan dari Universiti Padjadjaran kini ditugaskan untuk menguji jangka hayat antibodi vaksin Sinovac.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan suntikan ketiga dan KKRI akan mempertimbangkan idea tersebut setelah kajian menyeluruh dilakukan untuk memastikan keselamatan dos vaksin ketiga.

Pada Rabu yang lalu, Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan bahawa ia belum meluluskan dos ketiga vaksin Covid-19 untuk pekerja kesihatan sebelum kajian dan ujian klinikal yang menyeluruh dilakukan. – Agensi

POPULAR